Penduduk akhirnya terima kediaman ganti

BUKIT BENDERA: Perjuangan rakyat menuntut hak mereka akhirnya mencapai kejayaan apabila menerima kediaman ganti rumah pangsa kos rendah berkeluasan 800 kaki persegi di Jalan Tanjung Tokong Lama, di sini baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff merakamkan ucapan tahniah kepada 340 pemilik kediaman baharu secara percuma itu yang merupakan penduduk asal Kampung Tanjung Tokong.

Advertisement

“Tahniah juga kepada Tuan Mohammad Musannif Zainal Abidin, Pengerusi Persatuan Penduduk merangkap Ketua PAS Cawangan Tanjung Tokong bersama rakan-rakannya gigih berjuang.

“Seingat saya dari zaman Allahyarham Tuan Haji Hamdan Abd Rahman menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang lagi.

“Begitu juga pimpinan PAS Kawasan Bukit Bendera bersama-sama dengan penduduk. Saya masih ingat Tuan Haji Abd Halim Haji Salleh, Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Bendera dan saudara Saiful Lizan Md Yusof dan lain-lain lagi naik turun bangunan KOMTAR,” ujar beliau.

Menurut Ustaz Fauzi, beliau difahamkan kediaman tersebut berharga dalam lingkungan RM 350,000 ke RM 550,000 dan penyerahan kunci bakal diadakan tidak lama lagi oleh UDA Holdings selaku pemaju. – HARAKAHDAILY 28/10/2020