Pembangkang ketepi wabak demi cita-cita politik

KOTA BHARU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dianggap belum lagi serik apabila masih bercita-cita merebut kuasa ketika negara berdepan kemelut kesihatan.

Ketua Armada Kelantan Dato’ Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz berkata, mereka seperti tidak menghiraukan wabak yang sedang melanda negara sekarang.

Advertisement

Katanya pemimpin pembangkang masih lagi meneruskan impian peribadi bagi merebut kuasa politik.

“Mereka dilihat tidak menghiraukan nasihat Yang di-Pertuan Agong apabila terus melakukan tekanan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya di sini hari ini.

Ahad lepas Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli-ahli politik menghentikan segera segala politicking yang boleh menggganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.

Muhammad Amiin berkata, pembangkang sentiasa mencari alasan dengan mencetus propaganda bagi mewujudkan suasana tidak stabil.

“Golongan seperti itulah sebenarnya yang menjadi penyebab ketidakstabilan ekonomi dan politik di negara ini,” katanya.

Baru-baru ini Presiden PAN Mohamad Sabu dilapor mendesak Muhyiddin meletak jawatan secara terhormat ekoran istana menolak pengisytiharan darurat. – HARAKAHDAILY 28/10/2020