PAS-MU sedia hadapi DAP-PH di Pulau Pinang

- Advertisement -

BAYAN BARU: PAS Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif merapatkan jurang antara kaum menerusi pertemuan dengan Parti Bersama Malaysia (MU) yang mewakili majoriti masyarakat Tionghua negeri ini.

Pertemuan melibatkan kepimpinan kedua pihak ini masing-masing diketuai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dan Presiden MU, Tan Gin Theam berlangsung di Hotel Sri Malaysia, di sini kelmarin.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, PAS dan MU telah mengadakan beberapa kali pertemuan dan saling bertukar pandangan demi mewujudkan kefahaman dan membuktikan bahawa Islam memperkukuhkan perpaduan.

- Advertisement -

Menurutnya, penjelasan juga diberikan mengenai sebab PAS meletakkan Islam sebagai asas perjuangan politik dan dalam pemerintahannya yakni bukan sahaja sebagai agama untuk semua, tetapi juga cara hidup.

“Sejak 2013 selepas PRU13, Kerajaan DAP Pulau Pinang mendapat mandat rakyat dengan lebih besar, menjurus kepada bertambah besar keegoan mereka menyebabkan keharmonian dan kemakmuran antara kaum di Pulau Pinang semakin besar jurangnya.

“Ketegangan ini menyebabkan hubungan dalam kerjasama antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) terputus pada 2015 bila mana DAP melampau lampau melanggarnya Tahaluf Siyasi atau perjanjian kerjasama dalam PR,” ujarnya.

Terang beliau selaku juga Yang DiPertua PAS Kawasan Bayan Baru, keadaan bertambah tegang selepas PRU14 apabila Pakatan Harapan dan DAP mendapat mandat memerintah Kerajaan Persekutuan dan meneruskan di Pulau Pinang.

Katanya, pelbagai provokasi kaum dan agama oleh Laskar Siber RBA DAP dan ‘bangsa DAP’ semakin tidak dapat dipelihara, malah Bahasa Kebangsaan, tulisan Jawi mula diprejudiskan, Raja dan Sultan diperlekeh, serta Islam Agama Persekutuan dihina mengakibatkan amarah umat Islam tercabar.

“Suasana prejudis dan jurang antara kaum juga dapat dirasai oleh masyarakat bukan-Islam yang mahu kepada kehidupan aman damai. Keharmonian dan kemakmuran di antara kaum mulai resah dan dalam kerisauan mungkin berlakunya pertembungan peristiwa 1969 yang tragis.

“(Maka) Mereka telah memilih untuk bersama MU. Namun umat Islam masih terpelihara kesabarannya disebabkan Islam mengajar sikap sabar itu dari iman. Islam ajar umatnya sabar supaya tidak terpengaruh dengan tipu daya iblis dan syaitan.

“Iblis dan syaitan yang mengajak manusia bersengketa sesama sendiri tambahan Malaysia pula berbilang kaum dan agama,” ujar beliau.

Tegas Iszuree, PAS terbuka menjemput semua parti yang menolak PH-DAP untuk bergabung memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 demi mengembalikan keharmonian, keamanan dan kemajuan negara menuju sebuah negara yang berjaya. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -