Muslimat dalami isu kemurungan dan rawatannya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengakuan mengenai penyakit kemurungan sewajarnya mendapat pengesahan diagnosis yang betul daripada pakar psikiatri, demikian jelas Kaunselor Berdaftar Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM, Hanieza Fadzliana Yahya.

- Advertisement -

Perkara tersebut dinyatakan beliau dalam webinar mengupas tajuk ‘Depress Atau Sekadar Stress?’ anjuran Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

“Bila kita sebut penyakit, dia adalah penyakit. Maka ia mesti mendapatkan diagnosis dan rawatan daripada pakar. Rawatan untuk penyakit seperti kemurungan ini pula bukan dari sudut biologi semata, tetapi ia memerlukan pendekatan biopsikososial dan spritual atau kita kenali juga sebagai rohani,” ujarnya.

Beliau turut menerangkan bahawa rawatan biopsikososial ini adalah terdiri daripada aspek biologi iaitu rawatan seperti ubatan, psikologi seperti pendekatan kaunseling dan sosial melibatkan rehabilitasi pesakit untuk bergaul dengan orang lain.

“Rawatan dari sudut spritual juga perlu diberi terutama buat pesakit Muslim. Ini kerana kebiasaannya pesakit mengalami ‘spritual crisis’ seperti konflik menyalahkan Tuhan serta Qada’ dan Qadar.

“Mereka bukan bermaksud untuk berbuat sedemikian, tetapi tekanan dan gejala penyakit tersebut yang telah mengganggu tahap rasional  pesakit terbabit,” tambah beliau.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam yang telah mendapat penganugerahan berkaitan pengubatan Islam dari Darussyifa’ selaku panelis turut membentangkan pandangannya.

“Dari sudut perubatan Islam juga khususnya di Darussyifa’, ia adalah bersifat melengkapi perubatan secara klinikal. Penyakit kemurungan ini boleh jadi berpunca dari faktor tekanan mahupun gangguan halus. Jadi dari sudut perubatan Islam, ada doa-doa khusus yang kita lazimi untuk tujuan merawat,” kupasnya.

Beliau juga turut berkongsi satu inisiatif daripada Muslimat PAS iaitu Gerakan Wanita Sejahtera (GWS) yang menyediakan khidmat kaunseling oleh kaunselor berdaftar buat mereka yang memerlukan. GWS ini boleh dihubungi di talian 011-5338 2177.

Menurut beliau, GWS ini turut terdiri daripada pakar dalam bidang kesihatan, guaman dan agama di mana talian tersebut diwujudkan untuk membantu dan menjaga kesejahteraan kaum wanita khususnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -