Kru MV Dayang Topaz lalui detik tragik

- Advertisement -

KUCHING: Rakyat Sarawak semalam dikejutkan dengan insiden yang menimpa kru kapal platform MV Dayang Topaz, yang merempuh pelantar minyak di perairan Kuala Baram di Miri, kira-kira 800 kilometer dari sini, selepas ekor taufan Molave membadai kawasan itu.

- Advertisement -

Seramai 187 kru berada dalam kapal malang itu apabila satu daripada kabel kapal itu putus menyebabkan kapal hilang kawalan apabila dipukul ombak Laut China Selatan dan berlanggar dengan struktur pelantar penggerudian berhampiran.

Jurugerudi, juruperancah dan jurutera antara yang berada di dalam kabin kapal, menyatakan nyawa mereka berada di hujung tanduk dan hanya berserah kepada takdir, dalam insiden yang tidak dijangka di Laut China Selatan yang biasanya tenang.

Insiden malang itu mula menjadi perhatian dunia, sebaik media Sarawak dimaklumkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM).

“Dayang Topaz hampir tenggelam dan ada 62 kru kapal yang masih berada di dalamnya; 125 telah melompat dari kapal,” menurut kenyataan pertama yang diterima media di sini. 
 
Dalam keadaan laut bergelora dan taufan yang masih membadai di kawasan itu, APMM mula mengumpulkan sumbernya termasuk mendapatkan bantuan daripada syarikat minyak di Brunei, untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

Menjelang 10 pagi, agensi itu mengesahkan semua mangsa di dalam kapal itu telah diselamatkan dan dalam perjalanan untuk dihantar ke Miri melalui laut, kecuali dua yang cedera akan diterbangkan ke Hospital Miri.

Insiden itu telah mengorbankan dua nyawa namun identiti mangsa tidak didedahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dalam sidang media lewat petang ini berkata semua yang terselamat akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebagai sebahagian daripada prosedur saringan COVID-19 di negeri ini.

“Prosedur ini bukan bertujuan untuk membebani mereka, tetapi saya harap mereka faham bahawa kami harus memastikan demi kesihatan awam di negeri Sarawak,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -