Kerajaan Perak akan bantu pekerja terjejas COVID-19

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak tekad membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 terutamanya kalangan mereka telah diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria berkata, pelbagai inisiatif telah dijalankan melalui portfolionya bagi membantu 2,975 pekerja terlibat.

Antara inisiatif dan langkah yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Fasa 2 adalah menerusi program Transformasi Pekerjaan (Work-Pro) dengan sasaran seramai 1,500 peserta bermula Jun sehingga Disember 2020.

“Sehingga kini, seramai 402 orang peserta telah menjalani latihan untuk Fasa 1 bermula Jun sehingga September 2020 melibatkan 15 jenis kursus jangka pendek yang dipecahkan kepada tiga kategori.

“(Iaitu) Latihan Peralihan Tenaga Kerja, Latihan Pengekalan Tenaga Kerja dan Latihan Peningkatan Kemahiran,” ujarnya menjawab soalan lisan dari Dr. Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi).

Tegas beliau, kursus-kursus yang dilaksanakan bertujuan memberi tambah nilai (Skills to Survive) dalam mengaplikasi latihan yang diberikan untuk mewujudkan perkhidmatan baharu boleh ditawarkan kepada masyarakat.

Seperti katanya, perkhidmatan gunting rambut, penjagaan dan urutan wanita bersalin, pembuatan pastri, pembaikan pendawaian elektrik dan penghawa dingin secara mudah alih.

Tambahnya, pendekatan jangka pendek (quick win) dan panjang (long term) bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta kehidupan rakyat turut diambil agensi di bawah portfolionya; Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

“Sebanyak 2,247 jawatan kosong telah diterima PASAK bermula Jun sehingga September 2020 yang meliputi Sektor Pembuatan (770 kekosongan), Automotif (881 kekosongan) dan Perkhidmatan (112 kekosonngan dan lain-lain sektor (Peruncitan, Industri Makanan dan Perladangan),” jelasnya.

Sehingga hari ini, sebanyak 277 pencari kerja telah berjaya disenarai pendek oleh industri dimana masih terdapat 1,970 kekosongan jawatan kosong yang boleh dipohon dan diisi oleh rakyat Negeri Perak.

Terdahulu, Dr. Abdul Aziz telah mengemukakan soalan memohon kerajaan negeri memberi butiran kadar pengangguran dan bilangan pekerja yang terkesan COVID-19 dan tindakan diambil kerajaan negeri bagi membantu mereka terlibat. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -