Kebebasan Barat perisai menghina Islam

KUALA LUMPUR: Kebebasan bersuara dan ekspresi yang dilaungkan sebagai hak asasi oleh Barat hanyalah slogan sedap didengar, tetapi pengamalannya cuma untuk memberi faedah sepihak.

Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung menyifatkan ketidakadilan seperti itu hanyalah kebebasan yang hina, tanpa prinsip, tidak bermakna dan tidak harus diletakkan harapan.

Menurutnya, apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengatakan “Islam in crisis” dan Charlie Hebdo berterusan melukis karikatur Nabi Muhammad S.A.W, mereka menyatakan ia sebagai kebebasan dan mempertahankannya sebagai nilai di Barat.

Advertisement

Tetapi bidasnya, apabila Presiden Turki, Racep Tayyip Erdoğan mengkritik Macron dengan menyatakan pemimpin itu mempunyai penyakit mental bersama seruan memboikot barangan Perancis, mereka mahu Kesatuan Eropah (EU) mengambil tindakan atas Turki.

“Di manakah pula ‘freedom of speech’ and ‘freedom of expression’ bagi Muslim? Atau mereka gunakan ia sebagai perisai keceluparan untuk memelihara agenda mereka?” tempelaknya.

Firdaus turut memetik aman berita Mauritania Today yang melaporkan Kedutaan Perancis di Mauritania menamatkan kontrak kartunis terkenal, Khaled Ould Moulay Idriss kerana dikatakan menghina simbol negara dengan mengejek Presiden Macron dalam kartunnya.

Namun dalam Twitter Khalid yang dilaporkan oleh laman berita Al-Quds di United Kingdom menyatakan beliau memperbetulkan laporan berita itu bahawa kontraknya bukan dengan Kedutaan Perancis.

Sebaliknya jelas Khalid, dengan sebuah organisasi pembangunan dari Perancis yang beroperasi di Afrika Utara di mana beliau mempunyai rangkaian hubungan pekerjaan.

Hal itu terangnya berbeza dengan Macron yang mempertahankan lukisan Charlie Hebdo tersebut, sedangkan organisasi Perancis mengambil tindakan terhadap pihak lain kerana melukis kartun pemimpin mereka.

“Yakinlah, hipokrasi sebegini bukannya kali pertama dipertontonkan kepada dunia dan ianya tidak akan menjadi yang terakhir yang dunia akan saksikan. Ianya akan berterusan dan Islam serta Muslim akan terus menjadi sasaran utama,” kesali aktivis dakwah ini. – HARAKAHDAILY 28/10/2020