Agong titah Ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan oleh COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menegaskan bahawa belanjawan itu amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung ancaman wabak ini daripada terus merebak.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk menghentikan segera segala perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Advertisement

“Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini,” katanya.

Ahmad Fadil berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara selepas Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra-kabinet di Istana Negara, hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, dalam sesi menghadap lebih satu jam berkenaan yang bermula  8 pagi tadi, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November ini.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama perdana menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan oleh penularan COVID-19.

Tambahnya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ketika ini. – BERNAMA