Wajib pertahan Rasulullah S.A.W

- Advertisement -

SEBUAH kisah hitam berlaku di kota Paris, Perancis ketika Presidennya, Emmanuel Macron telah mengiktiraf dan mempertahankan tindakan seorang guru bernama Samuel Paty yang telah menghina Nabi Muhammad S.A.W atas dasar hak kebebasan bersuara.

Samuel telah bertindak menayangkan beberapa lukisan menyerupai Baginda Rasulullah S.A.W kepada pelajar-pelajarnya di dalam bilik darjah untuk berbincang di atas dasar hak kebebasan bersuara. Akibat tindakan tersebut, guru itu telah dibunuh dengan dipenggal kepalanya oleh seorang pemuda dari Chechnya beragama Islam.

Islam seringkali menjadi mangsa tohmahan dengan alasan hak kebebasan bersuara atau ‘freedom of speech’. Namun, sekiranya berlaku terhadap orang Yahudi, dikuatkuasakan Undang-undang Anti Yahudi atau ‘Anti Semitic’ Law dalam kebanyakan negara Eropah bagi melindungi orang-orang Yahudi daripada provokasi, penghinaan dan apa-apa kecaman terhadap orang Yahudi.

- Advertisement -

Sejarah penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W, Al-Quran, masjid-masjid dan apa sahaja syiar Islam terlalu banyak di portal-portal dan akhbar yang membangkitkan kemarahan ummah. Berita-berita penghinaan seperti ini sudah pasti tidak menyenangkan hati umat Islam secara keseluruhannya.

PAS menyeru umat Islam bersama mempertahankan Islam. Kita wajib pertahankan Rasulullah S.A.W dan haram sama sekali kita menghina Baginda Nabi S.A.W. Umat Islam mesti bersatu bagi menjaga kesucian agama ini daripada dirobek dan dihina musuh-musuh Islam di seluruh dunia.

Sabda Nabi S.A.W:

“Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
27 Oktober 2020 | 10 Rabiul Awwal 1442 – HARAKAHDAILY 27/10/2020

- Advertisement -