Sungai dipenuhi sampah punca banjir

Keadaan sungai di Kampung Setia Jaya dipenuhi sampah sarap
- Advertisement -

WANGSA MAJU: Sistem perparitan dan sungai yang dipenuhi sampah sarap tidak diselenggara di Kampung Setia Jaya, di sini, menyebabkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai itu hidup dalam kegusaran.

Timbalan Pengerusi Majlis Persatuan Penduduk Zon Wangsa Maju (MPPWP WM), Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud berkata, sungai yang sepatutnya berfungsi sebagai pencegah banjir tersumbat akibat penduduk membuang sampah sesuka hati.

- Advertisement -

Selain itu, kata Ustaz Abdul Rani merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju keadaan sistem perparitan adalah tidak diselenggara.

“Tahap kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat amat diperlukan untuk memupuk rasa cinta dan keprihatinan terhadap usaha menjaga kebersihan sungai kita.

“Hanya dengan ini, usaha memulihkan sungai akan berkesan,” ulasnya ketika hadir sendiri memantau sungai berkenaan bersama wakil MPPWP WM, Azhar Omar pada Ahad lepas.

Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud (tengah) mendengar keluhan penduduk.

Seorang penduduk yang mahu dikenali Abang Ali, 60, berkata keadaan sungai ini berbau busuk dan mungkin tercemar kesan daripada pembuangan sisa kumbahan dan sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai sejak bertahun lamanya.

Sehubungan itu, penduduk kampung berkenaan mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan mengambil tindakan serius untuk menangani isu itu yang dipercayai berpunca daripada sikap acuh tak acuh segelintir penduduk.

Pihaknya mencadangkan pembinaan tangki septik untuk pembuangan sisa kumbahan serta membekalkan tong sampah besar bagi mengelakkan pembuangan sampah ke dalam sungai.

MPPWP WM komited membawa perkara ini kepada DBKL dan JAS Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan penyelesaian terhadap isu sungai di Kampung Setia Jaya ini selain masalah jalan di kampung ini yang rosak dan berlubang. – HARAKAHDAILY 27/10/2020

- Advertisement -