Realisasikan pakaian patuh syariah di SUKMA

- Advertisement -

TEMERLOH: Sukan Malaysia (SUKMA) yang ditangguhkan penganjurannya ke April tahun depan boleh menjadi medan pelaksanaan pemakaian patuh syariah terhadap atlet-atlet dari negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, hasrat Kerajaan Negeri Pahang melaksanakan pemakaian atlet patuh syariah itu wajib disokong dan diperluaskan pelaksanaannya.

“Tahniah Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang memberi perhatian terhadap usaha itu. Kebertanggungjawaban bagi urusan yang diperintahkan agama ini sekali gus menjadikan sukan juga cabang dari ibadah.

“Setiap tegahan agama bermakna perbuatannya dosa, maka mematuhi perintah agama pastinya Allah ganjari pahala. Inilah hakikat kehidupan sebenar kita seorang Muslim kerana kita akan hidup pula di syurga abadi,” ujarnya.

Kata beliau, kesungguhan Menteri Besar membawa perkara itu untuk diperhalusi dengan kajian pihak sewajarnya seperti mufti, pakar syariah, persatuan sukan dan ahli akademi, semenangnya wajar dipuji dan langkah yang sangat positif.

Difahamkan, setakat awal tahun ini, sudah 13 daripada 19 acara sukan akan dilaksanakan inisiatif itu di mana Datuk Sri Wan Rosdy mengambil inspirasi pelaksanaan dari sukan sepak takraw.

Wan Rosdy pernah berkata, pakaian patuh syariah tidak menjejaskan prestasi atlet sukan itu sejak Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menguatkuasakannya kepada semua pemain bertanding Piala Juara STL sejak November 2018.

Malah, beliau menyokong penguatkuasaan sama yang diperluaskan mulai April tahun lalu kepada pemain bermula dari bangku sekolah sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Salamiah juga menegaskan, dengan inisiatif itu juga bakal menjaga kehormatan terutama kepada atlet wanita, selain diyakini dapat meninggikan lagi disiplin dan komitmen mereka dalam sukan serta menjadi contoh kepada masyarakat.

Beliau mengharapkan para atlet sedia menyambut arahan dengan rasa syukur kerana mereka dapat mematuhi arahan agama dan terhindar daripada kemurkaan Allah ketika bersukan. – HARAKAHDAILY 27/10/2020

- Advertisement -