Kumpulan Minks diminta adakan rundingan Karabakh

- Advertisement -

ANKARA, Turki: Pengerusi bersama Kumpulan Minsk telah diminta Turki untuk memulakan proses rundingan berorientasikan hasil yang bertujuan menyelesaikan konflik antara Armenia dan Azerbaijan di wilayah Nagorno-Karabakh, lapor Agensi Anadolu.

- Advertisement -

Jurucakap Kementerian Luar Turki, Hami Aksoy dalam satu kenyataan berkata usaha Kumpulan Minsk untuk memberikan hasil yang konkrit, perlu untuk mempertimbangkan tuduhan pelanggaran gencatan senjata oleh Armenia baru-baru ini.

Juga katanya, untuk melancarkan rundingan tersebut sejajar dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai isu dan undang-undang antarabangsa.

Organisasi untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) Kumpulan Minsk – yang dipengerusikan bersama oleh Perancis, Rusia, dan AS – dibentuk pada 1992 untuk mencari jalan keluar konflik secara damai, tetapi tidak berhasil.

Aksoy mendakwa Yerevan telah melanggar tiga gencatan senjata – satu pada 10 Oktober, satu lagi pada 18 Oktober dan yang terbaru gencatan senjata yang berkuat kuasa pada pagi Isnin.

Beliau berkata gencatan senjata terbaharu telah diisytiharkan untuk membolehkan pertukaran tawanan perang dan mayat sebagai hasil inisiatif AS, “tetapi dilanggar semula dalam beberapa minit oleh Armenia ketika ia meneruskan serangannya terhadap kedudukan Azerbaijan di barisan depan dan sasaran awam di wilayah Azerbaijan yang jauh dari zon konflik.”

Pada Ahad, Jabatan Luar Negeri AS mengatakan Timbalan Setiausaha Negara Stephen Biegun bertemu dengan Menteri Luar Armenia, Zohrab Mnatsakanyan dan Menteri Luar Azerbaijan, Jeyhun Bayramov.

Sementara itu, Agensi Berita Azerbaijan (AZERTAC) melaporkan memetik Kementerian Pertahanan negara itu sebagai sebagai berkata ia telah menghancurkan quadrocopter Armenia pada Isnin petang.

Quadrocopter, katanya, berusaha melakukan penerbangan ke atas kedudukan unit-unitnya di daerah Dashkasan di sempadan negara Armenia-Azerbaijan.

“Maklumat yang disebarkan oleh Armenia mengenai percubaan menggagalkan serangan UAV Tentera Azerbaijan di barisan depan tidak berasas dan salah,” kata kementerian itu kepada AZERTAC.

Hubungan antara dua bekas kesatuan Soviet itu tegang sejak 1991, apabila tentera Armenia menduduki Nagorno-Karabakh, sebuah wilayah Azerbaijan yang diiktiraf antarabangsa, dan tujuh wilayah bersebelahan.

Empat resolusi Majlis Keselamatan PBB dan dua daripada Perhimpunan Agung PBB serta organisasi antarabangsa menuntut “pengunduran segera keseluruhan pasukan penjajah dan tanpa syarat” dari wilayah Azerbaijan yang diceroboh. – BERNAMA

- Advertisement -