Kongsi kekayaan Sarawak bersama rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha Kerajaan Negeri Sarawak memperkukuhkan haknya terhadap sumber asli yang terdapat di negeri itu dilihat bakal memberi kesejahteraan kepada rakyat Sarawak seluruhnya.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, pihaknya percaya hal itu akan membantu pembangunan luar bandar yang masih ketinggalan seperti kemudahan jalan raya, elektrik, bekalan air bersih serta infrastruktur lain.

Kelmarin, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, Sarawak memiliki Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang mengesahkan hak negeri ke atas sumber asli di perairan wilayah dan di bawah tanah wilayahnya.

Pihaknya juga bercadang menggubal undang-undang bagi menjadikan kredit karbon sebagai komoditi perdagangan selaras dengan inisiatif kerajaan negeri dalam mempelopori penghasilan sumber tenaga berasaskan teknologi hijau. 

“PAS akan terus memberikan sokongan dengan syarat perlu telus dan sampai ke kumpulan sasaran yang sangat memerlukan pertolongan. Kami mengesyorkan kepada Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan unit khas.

“Ia untuk mengatur dan mengawal kewangan negeri agar telus seperti institusi hisbah sebagai badan pengawas yang ditubuhkan oleh pemerintah untuk memantau kegiatan individu dalam hal-hal yang berkaitan dengan moral, agama, dan ekonomi, sosial secara umum.

“Kewujudannya dengan tujuan menjaga keadilan dan martabat sebagaimana yang diatur oleh undang-undang Islam dan sesuai dengan persekitaran dan waktu,” ujar Jofri.

Katanya, hasil sumber asli yang ada di negeri itu perlu dikongsi bersama dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik, bukan memperkayakan kumpulan tertentu.

“Sarawak kaya dengan sumber asli, rakyat berhak mendapat faedahnya bukan hanya untuk kepentingan kerajaan dan mereka yang mempunyai kepentingan sahaja.

“Perkara ini perlu diberi perhatian oleh pemerintah agar rakyat dapat hidup dalam kedamaian dan kesejahteraan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/10/2020

- Advertisement -