KOTA BHARU: Kerajaan dan pembangkang perlu mewujudkan persefahaman bagi memastikan Bajet 2021 akan dibentang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, langkah itu menepati saranan Yang di-Pertuan Agung yang mahu bajet diluluskan.
Katanya, baginda mahu memastikan bajet dapat diluluskan kerajaan dengan sokongan semua pihak termasuk pembangkang.
“Kita dengar desas-desus cakap-cakap politik untuk menjejaskan kedudukan Perdana Menteri dengan menolak Bajet 2021 sebagai tanda penolakan kepimpinan Perdana Menteri.
“Sekiranya perkara itu berlaku, yang ruginya bukan Perdana Menteri, malah seluruh negara rugi kerana tiada lagi peruntukan bagi menangani wabak Covid-19,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Kewartawanan Kelantan (MAKK) di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Pada kenyataan media Ahad lepas, Yang di-Pertuan Agong menegaskan Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentang pada persidangan parlimen amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulih ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 27/10/2020