Fahami dan hayati mesej YDPA

Amzad memberi kata-kata semangat kepada Mohd Azizul, bapa kepada kanak-kanak yang terjatuh dari Tingkat 15 Flat Ladang Gemilang, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU: PAS menjunjung kasih di atas titah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu serta perlu difahami dan dihayati oleh seluruh rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, parti-parti politik dan rakyat mesti menghormati keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang menitahkan tiada keperluan ‘darurat’ dilaksanakan masa ini.

Advertisement

Ini kerana, Yang di-Pertuan Agong berpandangan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri (PM) Malaysia berjalan dengan baik.

“Baginda (Al-Sultan Abdullah) meletakkan kepercayaan kepada kerajaan Perikatan Nasional, di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Majlis Raja-Raja berpandangan tidak perlu (darurat) kerana telah pun melaksanakan tugas dengan baik.

“Saya rasa pandangan itu dikongsi sama oleh rakyat secara umumnya yang berpandangan bahawa kerajaan PN telah pun berfungsi dengan baik dalam menjaga kebajikan dan pentadbiran negara yang baik, supaya kerajaan dapat berjalan dengan baik,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa kanak-kanak yang terjatuh dari Tingkat 15, Flat Ladang Gemilang, di Jalan Kenanga, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Amzad, secara jelas dan tegasnya mesej dari Al-Sultan Abdullah dan Majlis Raja-Raja Melayu itu agar tidak diganggu-gugat kerajaan PN yang sedang berjalan dengan baik sekarang.

“Ini penting, supaya (kerajaan) boleh fokus kepada usaha menangani masalah Covid-19.

“Ini termasuk usaha kelulusan pembentangan Belanjawan 2021 yang disifatkan sangat penting dalam menjayakan apa sahaja langkah menangani pandemik Covid-19 dan langkah yang perlu dalam membantu ekonomi negara,” tegasnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), turut melahirkan rasa kecewa dan dukacita dengan segelintir ahli-ahli politik yang gagal memahami mesej Yang di-Pertuan Agong itu.

“Ini kerana, titah Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja dilihat semata-mata pandangan baginda (Al-Sultan Abdullah) sendiri. Tetapi, setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja Melayu, dan ianya mewakili pandangan seluruh Institusi Raja Melayu, yang dianggap Agong Ketua Negara, Sultan-sultan adalah Ketua bagi Negeri-negeri Persekutuan.

“Jadi, ini adalah satu nasihat, titah, perintah daripada ‘hierarki’ tertinggi kepimpinan dalam negara kita, yang sepatutnya dihormati dan dihayati semangatnya.

“Jadi, tidak timbul lagi berkait dengan desakan meletak jawatan Perdana Menteri dan sebagainya. Malah, saya tengok ini seolah-olah bacaan yang separuh,” ujarnya.

Menurutnya, Majlis Raja-Raja Melayu berpandangan bahawa tidak perlu darurat kerana kepimpinan Tan Sri Muhyiddin telah berjalan dengan baik, berjaya dan perlu disokong.

Hadir sama isteri Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Nur Diana Ahmad Takri, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Syed Ali Al-Idrus, Pegawai Perhubungan dan Kemasyarakatan, Zulkifli Wahab.

Sebelum itu, turut menziarahi keluarga mangsa Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Nor. – HARAKAHDAILY 27/10/2020