Tubuh majlis perundingan tangani Covid-19

Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka
- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Persekutuan disaran untuk menubuhkan Majlis Perundingan Negara bagi menangani Covid-19 yang melibatkan semua parti politik dari kalangan parti kerajaan dan pembangkang.

Penubuhan majlis perundingan ini adalah sebagai satu usaha menangani kegawatan disebabkan oleh wabak ini dan mengurangkan suhu politik negara yang semakin membara.

Saranan ini dikemukakan oleh Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka, Dato’ Kamarudin Sidek dalam satu sidang media di lobi kompleks pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, Seri Negeri, di sini, pagi tadi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka itu berkata, ia selaras dengan saranan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) ketika menolak cadangan darurat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

- Advertisement -

Menurut beliau, PAS Negeri Melaka menjunjung titah YDPA tersebut namun katanya, terdapat dua mesej yang perlu diberi perhatian oleh semua rakyat di sebalik penolakan cadangan darurat itu.

“Yang pertamanya atas dasar pihak Yang Di-Pertuan Agong meletak keyakinan dan memuji kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diyakini mampu untuk menangani isu Covid-19 ini.

“Dan yang kedua tuntutan Yang Di-Pertuan Agong adalah supaya ahli-ahli politik melakukan ‘genjatan politik’ iaitu hentikan politiking. Dan perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk menangani isu Covid-19 yang masuk gelombang ketiga di negara kita,” kata beliau.

Kamarudin turut menyarankan agar Malaysia meniru kejayaan New Zealand di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Jacinda Arden apabila mereka telah mengumumkan mereka bebas daripada Covid-19 baru-baru ini.

Menurut beliau, salah satu faktor yang boleh dilihat daripada kejayaan New Zealand itu ialah kerana semua parti-parti politik negara itu bersatu hati dalam menangani isu Covid-19.

Kamarudin turut menyatakan pandangan dan pendirian PAS Negeri Melaka berkaitan dengan pewartaan pihak Istana Negara tentang cadangan dan juga penolakan daripada Perdana Menteri itu baru-baru ini.

“Yang pertama kita mendesak supaya semua pihak, khasnya pihak pembangkang jangan mengheret rakyat dan negara kepada kehancuran, kegagalan dalam menangani isu Covid-19 ini.

“Maknanya jangan timbulkan sentimen-sentimen yang mengalih perhatian rakyat daripada menangani isu Covid-19 kepada banyak perbincangan isu politik,” ujar beliau.

Bagi Kamarudin, beliau melihat bahawa menjadi satu kegagalan kepada negara ini jika isu pertukaran kerajaan dan pergolakan politik ini berterusan.

Yang kedua, menurut Kamarudin, PAS Negeri Melaka juga menuntut supaya parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) sama ada Umno, Bersatu dan juga PAS supaya merealisasikan titah Yang Di-pertuan Agong ini.

Beliau juga menuntut supaya ketiga-tiga parti utama ini agar memperkukuhkan kerajaan dan perjanjian MN dan PN supaya rakyat melihat bahawa isu politiking ini tidak berlaku dari segi dalaman PN dan MN. – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -