Rakyat kini pemantau gelagat ahli politik

Susulan titah perintah YDPA supaya politiking menggugat kestabilan pemerintahan dihentikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perhatian seluruh rakyat kini tertumpu kepada ahli-ahli politik sejauh mana akan patuh titah perintah Yang di-Pertuan Agong supaya menghentikan segala politiking yang boleh mengganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.

- Advertisement -

Secara khusus, tadbir urus negara dilihat pincang dan tidak terfokus, serta urusan rakyat terabai oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sebelum ini berikutan konflik dalaman mendesak pertukaran jawatan Perdana Menteri.

Natijahnya, Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang dengan sendirinya dan kesatuan politik yang wujud ketika itu telah menyelamatkan negara menerusi pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendapat sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada PAS, Umno, BERSATU, GPS, sebahagian PKR dan lain-lain, pemerintahan negara kembali diletak dilandasannya.

Kabinet baharu terus bekerja dan bersungguh menggembleng segala kekuatan serta kesatuan menghadapi pandemik COVID-19 yang melanda dunia dengan menjamin kesihatan serta keselamatan rakyat dan ekonomi.

Malah, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Sidang Parlimen sulung di bawah Kerajaan PN pada Mei lalu telah memberi titah perintah untuk tidak lagi mengheret negara dan rakyat ke kancah politik.

Ternyata kepimpinan baharu negara mendapat keyakinan rakyat yang juga mahu dikekalkan mentadbir selepas PRU15 sebagaimana beberapa siri kajian oleh badan penyelidikan bebas membentangkan data hingga mutakhir ini.

Namun sebaliknya, PH yang berbaki kurang 109 Ahli Parlimen terus bergolak dan tidak henti bersilih ganti menukarkan kepercayaan untuk memberi sokongan sama ada kepada Tun atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perpecahan itu kian terang dengan penubuhan PEJUANG dan MUDA, serta melemah dengan kehilangan pentadbiran kerajaan beberapa negeri, kalah PRK hinggalah yang terakhir gagal di PRN Sabah.

Namun, Dato’ Seri Anwar susulan itu meneruskan langkah politik yang dilihat bersendirian tanpa diiringi rakan komponen lain mendakwa secara gempar memiliki nombor sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Susulan itu Yang di-Pertuan Agong sekali lagi memberi nasihat kepada Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pun demikian, hal tersebut tidak berakhir setakat itu apabila gelagat ahli-ahli politik tidak menghentikan drama mereka apabila berbangkit keras pelbagai desakan terhadap Muhyiddin diiringi usul Undi Tidak Percaya.

Rentetan COVID-19 yang kian memuncak, Baginda sekali lagi menyusul ulang nasihat kepada ahli-ahli politik untuk bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu serta mempamerkan kematangan dalam berpolitik.

Baginda juga menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan.

Bagi Pakar Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan, nasihat Seri Paduka itu ialah kerana pada ketika ini pandemik COVID-19 yang melanda negara agak menggerunkan serta mengejutkan, dan kerajaan perlu diberi ruang untuk menanganinya.

“Bila keadaan sudah reda, kalau mempunyai majoriti boleh dilakukan (politiking). Tunggu sebentar, kalau rakyat boleh bersabar dan berkorban, saya tidak nampak kenapa ahli politik tidak boleh berkorban,” katanya dalam temu bual eksklusif Buletin Bernama yang disiarkan di Bernama TV malam tadi.

Penganalisis Politik, Dr Muhammad Fathi Yusof turut memperingatkan ahli-ahli politik terhadap penekanan Baginda kepada Belanjawan Negara 2021 sebagaimana titah perintah terkini Istana Negara semalam.

Katanya yang juga Felo Penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia, nasihat itu juga bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya situasi ‘government shutdown’ atau kerajaan hilang fungsi akibat perbuatan politiking.

“Kenyataan berterus terang Tuanku bahawa tiada keperluan Ahli-ahli Parlimen meneruskan usaha yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada. Baginda juga menganggap bahawa tindakan seumpama itu sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, ingatan berkaitan Belanjawan Negara 2021 juga amat signifikan. Ini juga perlu diberi perhatian yang serius,” katanya kepada Bernama malam tadi.
 
Penganalisis Politik, Dr Syed Agil Alsagoff pula berkata kini terpulang kepada ahli politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, untuk membuktikan kematangan politik mereka ketika rakyat berdepan dengan pandemik COVID-19 dan kemelut ekonomi.
 
“Masa untuk tunjukkan kesepaduan demi kepentingan rakyat. Kita tak mahu pergolakan politik terus berlaku. Hindarkan konfrantasi politik. Masanya untuk tunjuk kematangan politik,” katanya merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2021.

Manakala Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata kenyataan Istana Negara itu menunjukkan kepercayaan tinggi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kepada kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 dan memberi peringatan kepada ahli-ahli politik supaya tidak menggugat kestabilan pemerintahan negara.

“Tuanku juga beri bayangan mengenai pentingnya Belanjawan Negara 2021 untuk rakyat. Baik kerajaan atau pembangkang, kena tengok perkara ini. (Kalau kita lihat) objektif teragung (dalam kenyataan Istana Negara) adalah untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Shamrahayu yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut menegaskan jika semua pihak mengamalkan sikap ‘gentlemen’ dalam politik, maka mereka akan mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -