Perkara 55: Beza prorog dan pembubaran Parlimen

- Advertisement -

PERKARA 55 Perlembagaan Persekutuan menyentuh prosiding Parlimen berhubung dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil, memprorog atau membubarkan Parlimen.

Kuasa YDPA di bawah Perkara 55 tertakluk pada Perkara 40(1) iaitu dilaksanakan oleh baginda di atas nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang menjalankan kuasa amnya bagi hal ini. 

YDPA perlu bertindak di atas nasihat sama ada untuk memanggil, memprorog atau membubarkan Parlimen dalam keadaan biasa, melainkan berlaku situasi berikut;

- Advertisement -

(1) Pembubaran Parlimen di bawah Perkara 43(4), iaitu YDPA memperkenankan permintaan Perdana Menteri (PM) yang didapati oleh baginda hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

(2) Dalam keadaan darurat.

Untuk mengenal pasti sama ada suatu kuasa itu jatuh di bawah budi bicara YDPA atau baginda perlu bertindak di atas nasihat, rujukan hendaklah dibuat kepada kaedah berikut;

(1) Perkara 40(2).

(2) Peruntukan penuh setiap Perkara yang menjadi subjek rujukan.

Selain peruntukan jelas dalam Perkara 40(2), jika peruntukan ada menyebut, misalnya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah ‘berpuas hati’ maka itu menunjukkan suatu pertimbangan itu diputuskan oleh YDPA atas permintaan Jemaah Menteri atau pihak yang dinamakan. Istilah ‘permintaan’ bermaksud YDPA tidak bertindak di atas nasihat, contoh mudah terkandung dalam Perkara 43(4).

Isu kedua yang sering diperkatakan berhubung dengan Perkara 55, ialah maksud istilah ‘prorog’ atau dalam bahasa Inggeris, ‘prorogue’.

Akhir-akhir ini istilah ‘prorog’ dipopularkan sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan isu politik dengan niat untuk menggantung Parlimen. 

Seperti disebut di atas, ‘prorog’ termaktub dalam Perkara 55 di bawah Fasal (2) Perlembagaan Perlembagaan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog Parlimen.

Kuasa YDPA untuk memprorog Parlimen selain bertindak di atas nasihat juga tertakluk pada Perkara 55(1), iaitu tidak boleh melebihi tempoh 6 bulan dari tarikh mesyuarat terakhir Parlimen. Justeru, YDPA atas nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang diberi kuasa, boleh memprorog atau memberhentikan mesyuarat Parlimen pada bila-bila masa dan peringkat.

 Apabila persidangan Parlimen dihentikan sama ada mengikut jadual asal, atau lebih awal dalam penggalnya maka itu dinamakan ‘prorog’. Justeru, Prorog ialah pemberhentian mesyuarat Parlimen. Ini  juga bermakna  YDPA perlu menitahkan Parlimen bersidang semula dalam tempoh tidak melepasi 6 bulan dari  tarikh mesyuarat terakhir dalam penggal yang lepas.

Progrog semasa mana-mana prosiding sedang berjalan dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan walaupun tidak menjadi amalan. Prorogue pernah juga  berlaku untuk memberi laluan Sidang Khas bagi membahaskan isu Palestin pada satu masa dahulu. Lazimnya prorog diperakukan oleh YDPA sebelum bermulanya  penggal baharu bagi pemberitahuan rasmi penggal lepas berakhir  serta diikuti dengan panggilan mesyuarat penggal baharu.

 Justeru, prorog  bukanlah amalan luar biasa dalam prosiding Parlimen. Penggal baharu Parlimen bermula dengan titah Pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 60.

Berbeza dengan penggantungan Parlimen. Kaedah itu boleh berlaku semasa Parlimen dibubarkan tiba-tiba darurat diisytiharkan, atau sebaliknya. Maksudnya, penggantungan Parlimen hanya boleh berlaku jika pembubaran dan darurat dalam waktu yang sama. Hal ini pernah berlaku akibat Peristiwa 13 Mei 1969. Parlimen dipanggil bersidang semula pada 20 Februari 1971, manakala darurat 1969 hanya dibatalkan pada 20 Disember 2011. 

Sekiranya darurat diisytiharkan ketika Parlimen belum dibubarkan, YDPA perlu membentang pemasyhuran Ordinan di kedua-dua Dewan Parlimen jika Majlis Parlimen boleh bersidang serentak, serta suatu ordinan itu tidak perlu disegerakan. 

Justeru, Parlimen tidak tergantung dengan hanya proklamasi darurat. Pada sisi lain, prorogue tidak boleh melepasi tempoh 6 bulan dari tarikh mesyuarat akhir penggal yang sebelumnya.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 26/10/2020 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -