Peristiwa semalam ikut ‘rule of law’

- Advertisement -

ANALISIS. Kenyataan Istana Negara semalam mencetus reaksi yang berbeza. Ramai berhujah jarang berlaku Yang di-Pertuan Agong tidak selari dengan keputusan kabinet.

Semalam ia berlaku di luar konvensyen. Apa pun ia memperlihatkan subur demokrasi Raja Berperlembagaan di negara ini. Apakah benar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan dengan persepsi negatif.

- Advertisement -

Cuba tengok frasa kenyataan Istana Negara. Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala Covid-19 daripada terus merebak.

Bagi Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof cadangan untuk memohon perintah darurat kesihatan bukan dibuat Perdana Menteri seorang.

Kata beliau keputusan itu secara konsensus anggota kabinet. Maknanya ada wakil daripada Umno, Bersatu, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Perikatan Nasional Sabah.

Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof

Keputusan kabinet pula berdasar kepada laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Maknanya punca cadangan itu dibentang daripada barisan hadapan yang terlibat secara langsung dengan wabak Covid-19.

“Biarpun ada dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bimbang terhadap usul undi tidak percaya dan pengundian Bajet 2021, namun isu wabak lebih menakutkan.

“Banyak pihak mendakwa sekiranya Bajet 2021 tidak diluluskan maka kerajaan PN terjejas dan hilang wibawa. Namun kena tengok juga apa yang berlaku pada persidangan Parlimen sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Sedangkan ketika itu ramai bercakap kerajaan PN akan jatuh sekiranya Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 gagal.

Namun rang undang-undang itu lulus juga biarpun dengan majoriti kecil. Dr Wan Nik yakin situasi yang berlaku pada persidangan Parlimen sebelum ini boleh berulang. Tidak perlu majoriti dua pertiga kerana ia tidak melibatkan kerangka perlembagaan.

Pada persidangan itu sejumlah RM45 bilion diperuntukkan di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi. Ketika itu muncul Makcik Kiah.

Sarjana terbabit juga berhujah tindakan Perdana Menteri mempersembahkan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong juga mencerminkan gerak kerja mengikut perlembagaan.

“Perdana Menteri sanggup menghadap baginda bagi merundingkan cadangan tersebut. Dan Yang di-Pertuan Agong pula bertindak dengan memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Ia memperlihatkan politik demokrasi begitu subur di negara kita. Bijaksana Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong begitu terserlah,” katanya.

Di situ terserlah rule of law. Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berhujah jarang berlaku situasi tidak selari antara istana dan Perdana Menteri. Kata beliau perkara yang berlaku semalam di luar konvensyen.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid

“Ini kerana sejak dahulu lagi biasanya Yang di-Pertuan Agong akan mengikut nasihat Perdana Menteri, namun semalam tidak berlaku begitu,” katanya.

Kata beliau pendukung Perikatan Nasional boleh mencari alternatif bagi melihat mesej dari Istana Negara.

Baginya Umno, PAS, Bersatu serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak boleh menyelamat keadaan itu dengan menampil tokoh yang diterima semua pihak.

Malah sebelum ini kedengaran cadangan mahu mengisi semula jawatan Timbalan Pendana Menteri. Teori itu bagi Dr Ahmad Fauzi sebagai antara pilihan yang ada.

Ia boleh meredakan seketika suhu politik. Dr Wan Nik dan Dr Ahmad Fauzi sependapat perlu dielak PRU ke-15 dalam suasana sekarang. Pilihan Raya Negeri Sabah terbukti menjalar semula Covid-19. – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -