Menghindari kegagalan penyatuan umat Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesatuan umat Islam bukanlah suatu perkara yang mustahil kerana sejarah telah membuktikan bahawa ia pernah dijayakan bukan hanya pada ikatan akidah semata-mata, bahkan secara geografi dan pentadbirannya.

Timbalan Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Ustaz Mohd Adlan Mokhtaruddin berkata, namun umat mesti mengambil pengajaran terhadap sebab-sebab kegagalan menyatukan umat di era ini.

Memetik kitab Ummatuna Bainal Qarnain karangan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi terangnya ia terjadi lantaran beberapa perkara antaranya perbalahan aliran falsafah ilmu dan metodologinya sama ada cenderung ke kiri (Sosialis) atau kanan (Kapitalis).

- Advertisement -

Juga katanya sebagaimana diterang tokoh ulamak itu, lantaran pertembungan al wala’at iaitu memilih pemimpin yang mahu diikuti juga berdasarkan perbalahan aliran dipilih, selain sentimen sektarian perkauman dan kebangsaan.

“Di mana sifat itu melebihi penyatuan umat secara menyeluruh. Penyatuan hanya bersifat kenegerian atau kenegaraan dan tidak mampu untuk lebih dari itu.

“Termasuk perebutan kekuasaan dalam kalangan pemimpinnya yang tertumpu pada kepentingan peribadi dan kroni sahaja, bukan bermotifkan ummat,” petik beliau.

Dr Yusuf katanya turut menjelaskan bahawa kesatuan pada zaman ini tidaklah akan dapat menyamai era kekhalifahan seumpama dulu, iaitu memiliki seorang ketua sahaja atau boleh sahaja dalam pelbagai bentuk.

Terutama katanya, dalam aspek kerjasama politik, ketenteraan dan ekonomi, cuma bersifat menyeluruh, kerana apabila menyebut aspek kesatuan, bukan bermaksud perlu semua perkara sama dan sependapat.

“Sebagaimana Kristian dan Yahudi juga berbalah dalam banyak aspek, tetapi masih lagi dilihat mereka bersatu. Hari ini, mereka bukan sahaja kelihatan kuat kerana bersatu, bahkan sebahagian umat Islam juga diheret untuk bersama mereka seumpama projek Normalisasi Israel,” ujarnya.

Ustaz Adlan memetik ayat 92 surah al-Anbiya’ dan menegaskan bahawa walaupun kesatuan masih gagal, tetapi ianya tidak mustahil jika berpegang kepada wahyu itu. – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -