Kerajaan terus bekerja, komited lindungi rakyat

Dilihat segera melaksanakan titah Agong dengan mengadakan mesyuarat malam tadi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjunjung kasih kepercayaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada kerajaan pimpinannya.

Advertisement

Beliau juga menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat sebagaimana titah perintah Baginda dalam kenyataan seusai Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, petang semalam.

“Jemaah Menteri mengambil maklum titah itu dan kerajaan akan terus memberi keutamaan untuk melindungi rakyat daripada wabak COVID-19,” kata Muhyiddin dalam kenyataannya malam tadi.

Jemaah Menteri langsung menjalankan tugas setelah titah Baginda memutuskan tiada keperluan darurat diisytiharkan pada masa ini dan merasakan kerajaan berjaya menangani COVID-19 dengan berkesan.

Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kanan serta beberapa Menteri Kabinet dilihat meneruskan kerja tanpa henti dengan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, di sini malam tadi.

Menurut laporan _Bernama_, antara mereka ialah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan),  Dr Radzi Jidin (Pendidikan) dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Turut kelihatan ialah Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Noraini Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Rina Mohd Harun; Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Selain itu, tiga Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Dato’ Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) serta Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama) turut kelihatan hadir.

Perbincangan Khas Raja-raja Melayu itu susulan pertemuan Muhyiddin dan beberapa wakil Menteri Kabinet mengadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz, Kuantan pada lewat petang Jumaat lalu.

Perbincangan tersebut diyakini banyak pihak bagi meneliti keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dikemukakan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan, kelmarin.

Pertemuan turut disertai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang itu bagi mempersembahkan keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan pada pagi hari sama. – HARAKAHDAILY 26/10/2020