Istana lebih utama kestabilan politik

KOTA BHARU: Istana Negara mengakui usaha yang dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani Covid-19 selama ini sebagai berkesan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, semua pihak bukan hanya perlu membaca apa yang tersirat, sebaliknya perkara tersirat dalam kenyataan Istana Negara.

Advertisement

Katanya baginda lebih menekankan kestabilan politik supaya tidak ada sebarang gangguan terhadap usaha kerajaan sekarang menangani Covid-19.

“Bukan setakat baca apa yang tersirat, tetapi memahami apa yang tersirat di dalam kenyataan baginda.

“Sekarang tidak berbangkit isu darurat kesihatan, jadi masing-masing kena memahami tafsiran baginda,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam kenyataan Istana Negara menjelaskan Yang di-Pertuan Agong amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak.

Oleh itu baginda berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Sebelum itu terdapat desas-desus Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon mempersembahkan pelaksanaan darurat mengambil kira wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan sekarang. – HARAKAHDAILY 26/10/2020