Hina Agong, Allah: Cubaan letus provokasi?

- Advertisement -

BENTONG: PAS Kawasan bersama Umno Bahagian bagi Parlimen Bentong telah membuat laporan polis berhubung satu tulisan melampau menghina Yang di-Pertuan Agong dimuat naik di Facebook Ho Ruey Terng, awal pagi tadi.

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah, penulis telah bersikap melampaui batas dengan menggunakan bahasa yang cukup biadab dan secara terang-terang menghina institusi pemerintahan tertinggi negara.

Tidak sekadar itu katanya, ‘pelampau’ juga dilihat dengan sengaja melalui tulisannya telah mengeluarkan kata-kata cacian dan makian kepada Allah, sekali gus cuba memancing kemarahan dan sentimen rakyat beragama Islam.

Laporan polis ini disertai sama Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Lurah Bilut, Abdul Rahim Hosman dan Pengerusi JKKK, Zulkifli Mat Yunus serta wakil Majlis Belia FELDA di Balai Polis Lurah Bilut, di sini.

“Ketika rakyat dan kerajaan sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 ini, ada pula pihak cuba mengambil kesempatan ‘menangguk di air keruh’. PAS Bentong memandang serius perkara ini.

“Secara tegas memberi peringatan agar tidak ada mana-mana pihak cuba ‘bermain api’ dengan mencetuskan ketegangan yang tidak sepatutnya lantas memberi persepsi buruk kepada institusi diraja dan agama Islam,” ulas Khairudin tegas.

Jelas beliau lagi, semua pihak sudah diberi peringatan berulang oleh Baginda Agong agar ‘kekal bertenang’ dan tidak mencetuskan sebarang spekulasi negatif, sebaliknya saling bekerjasama membantu kerajaan menghapuskan COVID-19. – HARAKAHDAILY 26/10/2020


- Advertisement -