Cintakah Rasulullah S.A.W pada kita?

Sahabat qudwah cinta berbalas

- Advertisement -

BIASANYA bulan Rabiul Awwal, kita akan mendengar banyak cerita-cerita Sirah Rasulullah S.A.W. Tapi, tak banyak kita tahu mengenai kisah-kisah orang sekeliling Baginda. Ramai beralasan, nak contohi Rasulullah itu mustahil sebab Baginda Rasul, kita manusia biasa. Baginda dibasuh hati, dipelihara dari upacara syirik sejak kecil.

Sekurang-kurangnya contohilah para Sahabat sekelilingnya. Mereka juga manusia biasa macam kita. Bukan semuanya baik sejak kecil. Kebanyakannya kenal Islam lama selepas baligh. Yang kenal Islam di hujung usia pun ramai.

Mereka mungkin memiliki kelebihan menerima tarbiyah Baginda secara langsung berbanding kita. Tapi, semua ajaran Baginda sampai kepada kita hari ini. Sifat tabligh membuatkan Baginda tidak meninggalkan dunia melainkan semuanya telah diwariskan kepada para Sahabat. Sahabat kemudian perturunkan kepada generasi Tabi’in hinggalah sampai kepada generasi hari ini.

- Advertisement -

Maka tidak ada alasan mustahil untuk mencontohi para Sahabat. Jika tidak mencontohi semua mereka, contohilah beberapa orang daripadanya. Pilihlah watak-watak yang dirasakan sesuai dengan situasi kita. Jadikan idola hidup. Merekalah Avengers sebenar yang menyelamatkan manusia.

Bertepuk biar dua tangan

Bercakap mengenai cinta Rasul, selalu kita bahas mengenai bagaimana melahirkan rasa cinta kepadanya. Tapi jarang orang cerita bagaimana nak Rasul pun kasih pada kita. Kalau kita sahaja yang cinta, bertepuk sebelah tangan lah jawabnya.

Teringat kisah seorang Sahabat yang sangat Rasulullah cintai, Zaid bin Harithah. Beliau digelar Hibbi Rasulillahbermaksud kekasih Rasulullah. Dia adalah anak angkat Baginda. Tetapi lebih dikasihi berbanding anak kandung sendiri.

Namun usianya tak panjang. Beliau pergi terlebih dahulu dari bapa angkatnya. Hari peninggalannya, Rasulullah menangis teresak sehingga didengari orang sekeliling. Kenapa sampai begitu sekali Baginda mencintainya? Nak tahu lebih lanjut kena baca sendirilah.

Kasih kerana Allah

Yang pasti, cinta Rasulullah dan Zaid adalah contoh salah satu golongan yang mendapat naungan Allah di hari tiada naungan selain naungannya:

ورَجُلانِ تَحابَّا في اللهِ اجْتَمَعا عليه وتَفَرَّقا عليه

“Dua lelaki yang bercinta kerana Allah. Berjumpa keranaNya dan berpisah keranaNya.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Bagaimana Rasulullah berjumpa Zaid? Bagaimana pula saat perpisahan yang dikatakan kerana Allah itu? Bacalah sendiri, hayatilah dan terapkanlah dalam kehidupan kita…

Kasihi Sahabat untuk beroleh kasih-Nya

Ala kulli hal.., Berkenalanlah dengan para Sahabat sedalam-dalamnya. Pupuklah rasa kasih terhadap mereka. Tak kenal maka tak cinta. Bagi menjamin cinta kita terhadap Baginda tak bertepuk sebelah tangan, maka cubalah mencintai Sahabatnya.

Sabda Rasulullah S.A.W:

فَمَنْ أَحَبَّهُمْ فَبِحُبِّي أَحبهُمْ

“Barangsiapa mencintai para Sahabat, maka dengan kecintaanku, akan aku cintai mereka.”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -