Andainya kami sempat bersama Nabi

- Advertisement -

UNGKAPAN-ungkapan penuh kerinduan yang menyatakan harapan agar dapat bertemu Nabi, bukanlah suatu fenomena yang baharu. Bahkan ia telah menjadi cakap-cakap dalam kalangan generasi terkemudian selepas para Sahabat.

Ikrar ingin menjunjung Nabi

Imam Ibnu Hisyam yang terkenal dengan kitab sirahnya, ada menceritakan dialog Huzaifah bin al-Yaman dengan penduduk Kufah. Ia juga turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim.

- Advertisement -

Ceritanya, terdapat seorang lelaki meluahkan angan-angan, alangkah bahagianya jika mereka sempat sezaman dengan Nabi:

يا أبا عبدِ اللهِ رَأيتُم رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ وصَحِبتُموهُ؟ قال: نَعَمْ يا ابنَ أخي قال: فكيف كُنتُم تَصنَعونَ؟ قال: واللهِ لقد كُنَّا نَجهَدُ قال: واللهِ لو أدْرَكْناهُ ما تَرَكْناهُ يَمْشي على الأرضِ، ولَجَعَلْناهُ على أعْناقِنا

“Wahai Abu Abdullah (gelaran bagi Huzaifah), adakah kalian pernah melihat Rasullah dan sempat mendampinginya?”. Huzaifah menjawab: “Ya wahai anak saudaraku”. Lelaki itu bertanya lagi: “Maka bagaimana pengalaman kalian?”. Huzaifah menjawab: “Demi Allah, kami berjuang bersama Baginda”. Lelaki itu berkata: “Demi Allah, andainya kami sempat bersama Baginda, kami tidak akan biarkan Baginda berjalan kaki di atas tanah. Sebaliknya kami pasti akan menjunjung Baginda di atas leher-leher kami.”

Ungkapan lelaki itu persis seperti yang dibayang-bayangkan oleh umat Islam hari ini. Rasa teringin menyambut Nabi dan melunasi keperluan-keperluan hidup Baginda.

Tidak semudah itu

Setelah mendengar hajat penuh kerinduan lelaki tersebut, Huzaifah mula menceritakan berkenaan situasi getirnya bersama Nabi. Kita boleh membayangkan Huzaifah sebagai ‘orang lama’ yang menggambarkan pengalaman sebenarnya.

Huzaifah menceritakan pada suatu malam ketika peperangan Ahzab sedang berlangsung, Nabi meminta kesanggupan kepada para Sahabat untuk menjalankan misi bahaya. Nabi bertanya:

مَن رَجُلٌ يَقومُ فيَنظُرَ لنا ما فَعَلَ القَومُ يَشرُطُ له رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أنَّه يَرجِعُ أدخَلَه اللهُ الجَنَّةَ. فما قام رَجُلٌ 

“Siapa sanggup menjalankan tugas mengintip untuk mengetahui apa yang sedang dibuat oleh kaum (tentera Ahzab)?” Nabi mensyaratkan pelaksana tugas tersebut agar menyelinap dan pulang dengan selamat. “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang itu ke dalam syurga (dalam riwayat yang lain, orang itu akan menemaniku di dalam syurga).”

Setelah mendengar permintaan Nabi itu, tiada siapa yang bangun menyatakan kesanggupan. Huzaifah menceritakan, sememangnya ketika itu mereka dalam keadaan yang sangat takut. Ditambah lagi dengan suasana yang terlalu sejuk dan kondisi mereka yang tersangat lapar.

Setelah Nabi mengulangi permintaan itu, tetap tidak ada seorang pun yang berani menyahut. Lantas Nabi mengarahkan Huzaifah agar menjalankan tugas tersebut. Huzaifah berkata:

فلمَّا لم يَقُمْ أحَدٌ دَعاني رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فلم يكُنْ لي بُدٌّ مِن القيامِ حين دَعاني

“Tatkala tiada siapa yang bangun menyatakan kesanggupan, Rasulullah pun menyuruh aku menjalankannya. Maka ketika itu tiada sebarang alasan, melainkan aku perlu bangun menyahut seperti yang diminta oleh Nabi.”

Dengan penuh berkat, Huzaifah menjalankan tugas tersebut dengan jayanya. Jika kita membaca Hadis ini selanjutnya, kita akan dapat melihat kelicikan Huzaifah mengintip dan sememangnya itulah antara bakat Huzaifah yang cukup dihargai oleh Nabi.

Kesimpulan

Hadis yang telah diceritakan oleh Huzaifah di atas, menggambarkan kepada kita beberapa realiti:

(1) Bersama dengan Nabi bukan bermaksud hidup kita sentiasa kondusif. Sebaliknya seringkali teruji dan ujian-ujian tersebut hanya boleh dilepasi dengan iman. Betapa dahsyatnya ujian ketika mendampingi Nabi, hingga ke satu tahap para Sahabat memilih untuk diam dari menyahut permintaan Nabi.

(2) Huzaifah menggambarkan pengalaman generasinya mendampingi Nabi dengan penuh komitmen. Bukan dengan gimik dan slogan yang indah semata-mata. Sekali gus Huzaifah mengajar kita bahawa rujukan yang paling tepat untuk menyayangi Nabi, adalah dengan menjadikan para Sahabat sebagai contoh utama.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -