Sidang Raja-raja Melayu pelihara kepentingan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu sebelum membuat sebarang keputusan penting menggambarkan ketelitian Seri Paduka.

- Advertisement -

Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, tiada kewajipan untuk Seri Paduka bertindak sedemikian.

“Bagaimanapun (tindakan) itu menggambarkan ketelitian baginda sebab benda (isu) ini besar dan Raja-Raja Melayu sering menggunakan pendekatan bermesyuarat dalam membuat keputusan.

“Jadi, tradisi itu diteruskan dan dalam situasi yang kita ada sekarang ini, langkah yang dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong itu (sangat) tepat,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Fathi merupakan  Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) dan pensyarah kanan di Pusat Perdana Pengajian Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM.

Istana Negara, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan Al-Sultan Abdullah akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.
 
Jelas Muhammad Fathi, sebarang keputusan melibatkan kepentingan negara tidak boleh dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya perlu berhati-hati dan berhemah.

“Tiada kewajipan (untuk memanggil Raja-Raja Melayu), cumanya dalam Perlembagaan sebut, Yang di-Pertuan Agong boleh meminta pandangan daripada Majlis Raja-Raja untuk (melakukan) apa-apa keputusan.

“Maknanya tidak ada satu (peraturan) bawah Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan), mesti ada kelulusan Majlis Raja-Raja. Tetapi itu yang saya katakan tadi, tradisi Raja-Raja Melayu kita mengutamakan syura atau musyawarah dalam membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Pengamal Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod pula menjelaskan keputusan Al-Sultan Abdullah mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu merupakan amalan biasa terutamanya dalam sesuatu perkara yang melibatkan implikasi besar kepada negara.

Katanya, tindakan itu juga selari dengan amalan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara.
  
“Majlis Raja-Raja Melayu yang melantik Yang di-Pertuan Agong, jadi seharusnya Al-Sultan Abdullah merujuk majlis tersebut dalam (membuat keputusan) isu penting ini,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan perisytiharan darurat, Nik Ahmad Kamal menjelaskan jika langkah itu diambil, Perdana Menteri dan Kabinetnya masih boleh terus berkhidmat untuk negara.

Beliau berkata kemungkinan satu jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan untuk menangani keadaan darurat tersebut seperti penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 1969.

“Jika darurat itu disebabkan COVID-19, tindakan lebih ketat perlu diperkenalkan bertujuan mengawal aktiviti dan pergerakan orang ramai. Mungkin, undang-undang baharu perlu diluluskan bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan.

“Pengisytiharan darurat juga memberikan kerajaan lebih kuasa untuk mencapai objektif (mengawal COVID-19) tersebut,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -