Seluruh negara kini menanti pengumuman penting

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seluruh negara kini sedang menanti detik bersejarah pengumuman penting pada bila-bila masa dari Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah diadakan di Istana Negara, di sini sejak awal petang tadi.

Perbincangan tersebut diyakini banyak pihak bagi meneliti keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dikemukakan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan, kelmarin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa wakil Menteri termasuk Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang telah mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lewat petang tersebut.

- Advertisement -

Menurut laporan Bernama, selain Al-Sultan Abdullah, dilihat masuk menerusi pintu utama Istana Negara sejak tengah hari tadi adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat ialah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Juga Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail serta Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Perbincangan Khas ini juga sebagaimana kenyataan makluman oleh pihak Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Ia setelah Baginda berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya. – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -