Salah satu jalan depani situasi Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi darurat merupakan salah satu jalan penyelesaian yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mendepani situasi kesihatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dihubungi Harakahdaily bagi mengulas ura-ura proklamasi darurat berkata, beliau menyokong penuh kuasa kerajaan dikembalikan semula kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, ini untuk memastikan negara dapat mendepani pandemik Covid-19 dengan baik dan lancar, setelah sistem demokrasi gagal dilaksanakan dengan baik oleh parti-parti politik bagi mengekalkan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu jelasnya, jika darurat dilaksanakan ia akan memberi kuasa sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

Ia bagi memastikan hala tuju negara berada pada landasan yang tepat bagi memenuhi aspirasi Perlembagaan Persekutuan, rukun negara dan kehendak Majlis Raja-raja Melayu

Bagaimanapun, UMMAH berharap agar semua pihak khususnya pemimpin parti-parti politik memberi ruang, kesetiaan dan keyakinan penuh kepada Al-Sultan Abdullah.

“Keputusan Yang di-Pertuan Agong yang akan melantik Perdana Menteri dan juga sebagai Pengarah Majlis Darurat negara akan mendapat kerjasama semua pihak,” kata Mohd Zai.

Katanya lagi, ini adalah satu norma baharu pentadbiran negara bagi mendepani situasi ketidakstabilan negara yang berlaku ketika ini.

Pada petang 23 Oktober, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz Indera Mahkota bagi mempersembahkan taklimat cadangan-cadangan selepas mencapai kesepakatan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan pada pagi itu.

Pertemuan itu menjadi tumpuan rakyat dan bertiup kencang dengan desas-desus bahawa Muhyiddin menghadap Al-Sultan Abdullah bagi mendapatkan perkenan untuk melaksanakan darurat bagi mengatasi ketidakstabilan politik negara sekali gus memberi fokus kepada usaha menangani Covid-19. – HARAKAHDAILY 25/10/2020



- Advertisement -