Program ‘MyAirportCARES’ bantu barisan hadapan

Pengurus Lapangan Terbang Tawau Hasbi Mohd Said (kiri) menyambut ketibaan bantuan Kit Keselesaan tersebut.
- Advertisement -

TAWAU : Malaysia Airports melalui inisiatif tanggungjawab korporatnya menjalankan program ‘MYAirportCARES’ menghantar bantuan ke Sabah untuk meneruskan usaha menyokong pasukan barisan hadapan negara.

Sebanyak 350 Kit Keselesaan dihantar kepada petugas barisan hadapan di Tawau dan Kota Kinabalu yang sedang memerangi Covid-19 dengan bantuan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

- Advertisement -

Barang-barang dihantar melalui pesawat Charlie 130 yang berlepas ke dua destinasi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Malaysia Airports, Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata sejak berlakunya wabak ini, semua lapangan terbang di seluruh negara ditugaskan untuk turun padang melihat kesejahteraan masyarakat sekitar masing-masing.

“Selain berfungsi sebagai hab pengangkutan, lapangan terbang juga memainkan peranan penting dalam persekitaran sosio-ekonomi mereka sendiri.

“Dengan mobilisasi tambahan petugas barisan hadapan ke Sabah, pihak Malaysia Airports turut memberikan bantuan agar para petugas yang bekerja berjam-jam lebih selesa semasa menjalankan tugas mereka,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam

Menurutnya, bantuan Kit Keselesaan ‘MYairportCARES’ tersebut terdiri daripada beg tidur, tuala muka dan set peralatan mandian.

“Awal tahun ini, sebanyak 2,000 kit yang sama telah diedarkan ke Hospital Sungai Buloh iaitu tempat rujukan bagi menangani wabak, manakala 500 unit lagi diberikan kepada penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Mohd Shukrie berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada TUDM kerana telah membantu membawa Kit Keselesaan ini ke Sabah dan menghargai solidariti yang ditonjolkan dalam memastikan negara kekal selamat.

“Malaysia Airports sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pihak, bukan hanya di dalam rangkaian lapangan terbang kami sendiri, tetapi di seluruh negara,”katanya

Terdahulu, bantuan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau terus diserahkan kepada wakil-wakil agensi petugas barisan hadapan untuk diagihkan di kawasan masing-masing.

Agensi terbabit termasuklah Hospital Queen Elizabeth, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Perbandaran Tawau. – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -