Polis Sabah nasihat orang ramai usah panik

- Advertisement -

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku termasuk sekiranya negara diisytiharkan darurat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Dato’ Hazani Ghazali berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan lebih awal dan anggota PDRM Sabah terlatih untuk menangani sebarang kemungkinan termasuk rusuhan.

- Advertisement -

“Masyarakat tidak perlu panik dengan berita-berita yang belum diputuskan lagi dan yakin dengan pasukan keselamatan negara untuk mengawal situasi negara.

“Darurat tersebut bukanlah berkaitan dengan keselamatan, sebaliknya ia hanya darurat bencana Covid-19 supaya rantaian wabak dapat diputuskan dengan cepat,” katanya semasa ditemui di Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM), di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, sekiranya darurat bencana dilaksanakan, pergerakan perkhidmatan perlu (Insential Service) masih dibolehkan dan tidak timbul soal bekalan makanan akan tersekat.

“Kita hanya akan menyekat pergerakan orang awam sahaja kerana sekiranya masih tiada sekatan, selagi itu wabak Covid-19 akan terus merebak.

“Orang awam perlu sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan supaya dapat membantu pihak berkuasa menangani wabak tersebut dan mengelak daripada sebarang tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini sebanyak 1,890 kompaun dikeluarkan polis Sabah sejak Mac lalu yang melibatkan kesalahan ingkar pematuhan SOP, sekatan jalan raya (SJR) dan kuarantin.

“Sehingga kelmarin 25 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di SJR dan ada di antara individu yang dikenakan kompaun dihadapkan ke mahkamah,” katanya

Terdahulu, Hazani melakukan pemeriksaan dan pemantauan di semua 64 SJR di Sabah untuk melihat sendiri kesiapsiagaan petugas PDRM dan agensi lain.

Seramai 1282 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dengan penugasan tersebut.

Hazani turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lima anggota PPM yang mengharumkan nama PDRM kerana membantu masyarakat bajau palahu sehingga mendapat pujian orang ramai.

Turut hadir hadir Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Deputi Superintenden Mohd Nazari Ismail. – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -