Patik junjung titah Tuanku – TITM

Foto FB Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menjunjung titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billa Shah mengenai keputusan baginda hari ini.

Keputusan baginda itu sekali gus menutup desas-desus pengisytiharan darurat yang hangat diperkatakan sejak semalam.

Advertisement

Tuan Ibrahim dalam satu kenyataanya di Facebook rasmi beliau secara jelas menyebut bahawa beliau menjunjung titah YDPA yang diumumkan melalui Kenyataan Media Istana Negara petang tadi.

Titah Baginda, buat masa ini tiada keperluan untuk Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan diimplementasikan memandangkan kerajaan hari ini berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak,”tulis Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Petang tadi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Malah Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli-ahli politik supaya menghentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

TItah itu dikeluarkan petang tadi dalam kenyataan rasmi Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin selepas pertemuan Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang berlangsung hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan Ahli-Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY