PAS sambut baik titah YDPA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan tiada keperluan pengisytiharan darurat dilaksanakan dalam negara buat masa ini.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS menghormati kuasa prerogatif yang ada pada baginda Yang di-Pertuan Agong menurut perlembagaan.

- Advertisement -

Beliau berkata, antara perkara penting Yang di-Pertuan Agong menitah agar semua ahli-ahli politik menghentikan segera segala politicking sehingga mengganggu urusan pentadbiran kerajaan dalam memberi tumpuan membendung pandemik Covid-19 yang merupakan soal keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Dalam keadaan sebegini kita juga boleh menilai dalam kalangan ahli-ahli politik itu sendiri patuh atau tidak dengan titah Yang di-Pertuan Agong dalam perkara ini.

“Dan rakyat boleh menilai siapa yang mahu terus berpoliticking dan yang patuh pada titah Yang di-Pertuan Agong dalam kemelut yang sedang berlaku pada hari ini,” ujar Ustaz Idris kepada Harakahdaily hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Al-Sultan Abdullah amat mempercayai dan yakin dengan kemampuan kerajaan yang dipimpin di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus membawa pentadbiran negara dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 dengan baik.

Bagaimanapun katanya, beliau berharap agar semua pihak patuh dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota bagi membentangkan cadangan hasil Mesyuarat Khas Kabinet.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Seri Paduka berkenan mengadakan rundingan dengan Majlis Raja-Raja Melayu bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada baginda.

Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Petang tadi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Malah Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli-ahli politik supaya menghentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

TItah itu dikeluarkan petang tadi dalam kenyataan rasmi Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin selepas pertemuan Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang berlangsung hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan Ahli-Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -