PAS Kudat bantu nelayan terjejas

KUDAT: Mengambil kira ramai penduduk yang bekerja sebagai nelayan terjejas disebabkan musim hujan dan wabak pandemik Covid-19, PAS Kudat tampil membantu meringankan beban mereka.

Sebanyak 19 keluarga dari Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Bahagia telah menerima sumbangan keperluan dapur berupa beras, bihun, telur, tepung, minyak dan gula dalam program yang berlangsung pagi ini dan semalam.

Advertisement

Naib Yang di-Pertua PAS Kudat, Abu Luqman Mohd Raja berkata, ramai nelayan tidak dapat turun ke laut disebabkan hujan yang berpanjangan.

“Edaran sebelum ini kami membantu ramai golongan penoreh getah, kali ini kami tampil membantu nelayan pula” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, PAS Kudat mensasarkan bantuan kepada masyarakat terjejas yang tidak menerima bantuan bakul makanan daripada kerajaan Negeri Sabah.

Selain itu katanya PAS Kudat turut mensasarkan sumbangan keperluan bagi petugas barisan hadapan, keluarga yang dikuarantin, asnaf, fakir miskin dan masyarakat yang hilang sumber pendapatan keluarga sepanjang pandemik Covid-19.

“Sehingga hari ini, sebanyak 240 keluarga telah menerima bantuan daripada pihak kami dan serahan dilakukan secara berperingkat mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan pusat,”ujar Abu Luqman lagi.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Pengarah Program di talian 019-8415002 atau sumbangan tunai boleh disalurkan melalui akaun Maybank 560063056547 atas nama PASTI Al-Furqan Kudat. – HARAKAHDAILY 25/10/2020