NGO sokong keputusan YDPA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, Pertubuhan Rahmat Untuk Semua (Rahmat Care) menyokong sepenuhnya dan menjunjung titah keputusan KDYMM Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Menurut Pengerusinya, Mohammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Cina, sehingga saat ini rakyat Malaysia perlu meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan negara.

- Advertisement -

“Beri keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan negara untuk selesaikan kemelut yang ada. Sabar, tenang dan di samping berdoa banyak-banyak memohon kepada Allah kebaikan dan keberkatan dalam hidup ini, Insya-Allah,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Ustaz Mad Cina juga berkata, senario politik yang berlaku pada hari ini seolah-olah gawat apabila rakyat sedang berdepan wabak Covid-19 manakala orang politik rancak berebut jawatan dan sebagainya.

Petang tadi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Malah Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli-ahli politik supaya menghentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

TItah itu dikeluarkan petang tadi dalam kenyataan rasmi Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin selepas pertemuan Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang berlangsung hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan Ahli-Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -