Maik tangguh kuliah di masjid 3 hari

Foto FB Maik

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengarahkan kuliah agama di seluruh masjid di negeri itu ditangguhkan bermula hari ini.

Bagaimanapun Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan tersebut berkuatkuasa sehingga 27 Oktober ini.

Advertisement

“Memandangkan berlaku peningkatan kes Covid-19 seluruh negara termasuk Kelantan kebelakangan ini, maka Maik mengarah semua bentuk kuliah ditangguhkan.

“Ia termasuk kelas-kelas al-Quran turut ditangguhkan serta-merta bermula 25 Oktober sehingga 27 Oktober ini,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Manakala solat fardhu dan solat sunat diberikan kebenaran bersyarat sebagai salah satu langkah pencegahan penularan wabak tersebut.

Antaranya kata beliau, kedua-dua solat itu dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sementara itu semua masjid di Kelantan malam ini membatalkan kuliah agama sebagai mematuhi arahan Maik.

Tiada kuliah agama seperti lazimnya di masjid-masjid sekitar Kota Bharu. Namun solat jemaah berlangsung seperti biasa dengan mematuhi SOP ditetapkan. – HARAKAHDAILY 25/10/2020