Lima intipati penting daripada titah Tuanku

- Advertisement -

MENJUNJUNG kasih Tuanku

Lima intipati penting daripada titah Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin petang ini, 25 Oktober 2020, ialah seperti berikut:

- Advertisement -

Pertama, YDPA mempercayai kemampuan Jemaah Menteri pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Kedua, semua pihak perlu memberhentikan segera politicking yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Ketiga, pihak-pihak berkenaan tidak wajar untuk meneruskan sebarang tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat kestabilan kerajaan.

Keempat, Belanjawan 2021 amat penting untuk menghadapi pemulihan wabak Covid-19 dan kehidupan ekonomi negara.

Kelima, semua rakyat termasuk ahli politik perlu sama-sama menghadapi suasana hari ini dengan semangat perpaduan serta ketepikan perbezaan.

Mafhum daripada titah Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tersebut, saya berpandangan bahawa:

Pertama, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin buat masa ini tidak wajar dijadikan suatu keutamaan oleh mana-mana pihak, khususnya dalam Penggal ke-III Mesyuarat ke-III yang akan diadakan bulan (November) depan.

Kedua, pembentangan Belanjawan 2021 tidak wajar dijadikan forum untuk menguji kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap kepimpinan PM.

Ketiga, sebagai menyambut titah Yang di-Pertuan Agong bagi mewujudkan perpaduan dan ketepikan perbezaan. Maka, amat wajar bagi kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan suatu majlis atau badan perundingan yang beliau sendiri mempengerusikannya, yang dianggotai oleh pimpinan kanan kerajaan juga pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Dato’ Sri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang, Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Shafei Apdal.

Permintaan darurat oleh Perdana Menteri yang tidak diperkenankan itu menunjukkan kerajaan buat masa ini masih berupaya untuk mentadbir dengan baik melalui kerangka undang-undang serta mekanisme pentadbiran yang sedia ada.

Keputusan dan titah di atas merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Semoga titah Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu dihormati oleh semua pihak.

Daulat Tuanku!

DATO’ WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN,
Pengasas Jurisprudens Watan merangkap Profesor Madya, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -