Kerajaan wujud pelan khas tangani keresahan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan keperluan mewujudkan Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang dengan lebih terperinci bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, tetapi juga bagi menangani keresahan rakyat.

- Advertisement -

Perkara itu ditekankan di dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara sidang video berkenaan COVID-19 yang dipengerusikan beliau semalam.

Menurut kenyataan yang dipaparkan di Facebook Muhyiddin, Perdana Menteri sedar keresahan rakyat menghadapi situasi pandemik COVID-19 pada masa ini masih belum reda, yang menyebabkan kebergantungan kepada kerajaan semakin tinggi.

Mengakui senario menguruskan COVID-19 sekarang telah berubah, Muhyiddin mengajak semua ahli mesyuarat MKN untuk lebih fokus dalam usaha memerangi wabak itu serta membuktikan Malaysia pasti akan menang melawan pandemik berkenaan.

“Beliau turut mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan COVID-19 dengan lebih berkesan.
 
“Setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat harian yang diadakan secara sidang video telah bermula sejak 7 Oktober lepas. – BERNAMA

- Advertisement -