Junjung titah MRR, bersama bantu kerajaan

- Advertisement -

TITAH perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah supaya seluruh rakyat bersatu padu dan bersatu hati mestilah dipatuhi. Baginda mahu rakyat tanpa mengira latar belakang khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan.

- Advertisement -

Mesej seumpama ini telah dititah perintah Baginda sehingga empat kali setakat ini, malah mengajak untuk kita membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa menghadapi ancaman utama sedang kita semua hadapi ketika ini iaitulah COVID-19. Sekiranya kita gagal membendung wabak ini, keselamatan diri dan kesejahteraan negara kita cintai ini akan terancam.

Tentunya mesej titah perintah Baginda yang diumumkan hari ini mewakili perkenan Perbincangan Khas Majlis Raja-raja (MRR) di Istana Negara itu telah diperhalusi dan dilihat secara menyeluruh situasi negara ketika ini. Paling utama, Raja-raja Melayu telah memperakui keupayaan kerajaan di bawah teraju YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung COVID-19 dari terus merebak.

Sehubungan itu, tanpa keperluan darurat diisytiharkan pada masa ini, kelangsungan dan kesepaduan usaha menangani cabaran bersama kita hari ini itu menuntut ahli-ahli politik khususnya menghentikan segera segala tindakan yang boleh mengganggu gugat kestabilan dan kelancaran tadbir urus kerajaan sedia ada.

Semua pihak tanpa mengira sesiapa, perlu akur dengan pengumuman tersebut. Malah, inilah masanya kita sebagai warga Malaysia membuktikan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang yang menjadi antara Rukun Negara kita cintai ini kukuh pada diri.

Tidak perlu lagi ada hembusan-hembusan ketidakpuasan hati peribadi atau kelompok yang menjadi hasutan kurang menyenangkan atau menyebabkan kita bercerai-berai. Sebaliknya mari eratkan solidariti agar setiap dapat menghadapi cabaran COVID-19 ini dengan selamat, seterusnya memacu ekonomi dan pembangunan negara serta masa depan ke mercu lebih berjaya dan maju.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
ADUN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -