Gajah liar rosakkan kediaman penduduk

LENGGONG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) diharap dapat menangani segera masalah gajah liar yang masuk ke kampung dan merosakkan kediaman penduduk.

Advertisement

Rayuan itu disuarakan Azaruddin Md Tarmizi, 51 yang kediamannya telah kali ketiga dirosakkan haiwan itu yang memaksanya dari Kuala Lumpur bergegas pulang ke Kampung Talong, Luat, di sini semalam.

“Hasrat untuk buat penambahbaikan rumah serta persekitarannya ketika sesekali pulang ke kampung sementara menunggu persaraan empat tahun lagi. Sekali lagi terbantut apabila sekali lagi rumah ini diserang kumpulan gajah liar.

“Memang bercadang nak balik kampung minggu depan, tapi terpaksa balik segera, bila diberitahu jiran mengenai serangan gajah itu dan ini adalah serangan kali ketiga ke atas rumah saya selepas dua kali dalam masa seminggu pada tahun lalu.

“Rumah ini saya bina beberapa tahun lalu dan dalam masa masih bekerja ini saya dan keluarga jadikannya rumah singgahan buat beberapa hari ketika pulang pada musim-musim perayaan dan percutian sekolah.

“Bila bersara nanti kami sekeluarga akan menetap di sini,” katanya yang merupakan pekerja swasta dan berhasrat menetap di kampung selepas bersara,

Beliau terpaksa memohon surat pelepasan rentas negeri, pulang tiga beranak untuk melihat keadaan rumahnya yang mengalami kerosakan diserang gajah itu.

Menurutnya, walaupun sudah dimaklumkan jiran-jiran kejadian yang berlaku, namun terkedu melihat sendiri kerosakan kedua-dua tingkap dapur, beberapa keping atap ruang tamu dan bilik air, sebuah mesin rumput dan beberapa barangan lain dalam ruang dapur.

Serangan kali pertama dan kedua pada 27 dan 30 Disember tahun lalu, katanya menyebabkan kerosakan dua tingkap yang sama serta atap bilik air selain sebuah peti ais, mesin basuh, motosikal dan lain-lain dengan anggaran kerugian sebanyak RM5,000.

“Beberapa bahagian rumah yang mengalami kerosakan, telah dibaikpulih pada awal tahun ini dengan kos lebih kurang RM2,000. Kerugian kali ini melebihi RM500 dan saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lagi untuk baikpulih semula.

“Tapi bila terfikir kalau-kalau kumpulan binatang liar itu menyerang lagi, rasa malas nak baikpulih semula. Ibu bapa saya orang kampung ini dan tanah pusaka dua ekar milik saya ini ada 60 pokok durian serta puluhan pokok langsat, dokong, rambutan.

“Saya bina rumah di atas tanah ini kerana saya berhasrat untuk menetap di sini selepas bersara. Kalau sekali dirosakkan, boleh tahan lagi, tapi ini dah tiga kali, malah malam sebelum saya pulang pun kumpulan gajah itu datang lagi, nasib baik tidak ditambah lagi kerosakannya,” ujarnya.

Kata beliau, pagar elektrik (pagar gajah) sedia ada perlu dibaikpulih supaya berfungsi semula, kerana kumpulan gajah turut memusnah pokok-pokok getah, kelapa sawit, pisang dan tanaman lain milik penduduk.

Awal pagi Rabu lalu serangan kumpulan gajah dianggarkan antara lima dan tujuh ekor itu disedari jiran, Abdul Halim Nordin, 51, ketika terjaga dari tidur jam 4 pagi apabila terdengar bunyi seperti orang bertukang sedang memecah atap rumah sebelum bunyi tempikan kuat beberapa ekor gajah, termasuk anak-anak haiwan itu.

Selepas Subuh, Abdul Halim dan jiran-jiran lain pergi menyiasat dan mendapati rumah berkenaan diserang kumpulan gajah sekali lagi selepas hampir setahun.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, mengesahkan kejadian itu dan sepasukan anggota telah pergi ke lokasi kejadian dan membuat pemantauan pada waktu malam hingga Subuh. – HARAKAHDAILY 25/10/2020