Bantuan khas persekolahan PAS Kawasan Kota Bharu

KOTA BHARU: Seramai 100 orang pelajar tingkatan lima dan enam dalam DUN Tanjung Emas telah menerima sumbangan bantuan khas persekolahan dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Masjid Redhauddin Wakaf Mek Zainab di sini petang semalam.

Bantuan itu yang merupakan sumbangan bersama daripada Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu Dato’ Takiyuddin Hassan dan PAS Kawasan Kota Bharu ini telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Emas, Rohani Ibrahim mewakili Takiyuddin.

Advertisement

Menurut Rohani, seramai 100 orang penerima diperuntukan untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam kawasan Parlimen Kota Bharu ini dengan jumlah keseluruhan penerima bantuan ini adalah seramai 300 orang bagi seluruh kawasan parlimen ini.

Tambah beliau, program khas ini adalah bagi membantu pelajar-pelajar miskin yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM yang dijadualkan akan berlangsung pada Januari ini.

Kata beliau lagi, setiap pelajar yang terpilih akan menerima sumbangan sebanyak RM50 setiap bulan bermula bulan Julai ini sehingga Januari tahun hadapan.

“Sebanyak RM15,000 diperuntukkan setiap bulan bagi 300 pelajar miskin yang telah dipilih oleh penghulu-penghulu mukim dalam Parlimen Kota Bharu ini.

“Saya harap dengan sumbangan ini dapat meringankan beban pelajar-pelajar kerana tekanan daripada wabak Covid-19 ini,” ujar beliau.

Majlis penyampaian ini telah dijalankan secara ringkas dan mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – HARAKAHDAILY 25/10/2020