Selama tawar destinasi riadah ekopelancongan

- Advertisement -

DAHULU, jika anda bertanya kepada orang awam, Daerah Selama di mana? percayalah, tidak semua tahu di mana bumi bertuah ini. 

Hal-hal seperti ini menyebabkan beberapa warga di sini terpaksa menjawab ‘kampung saya di Taiping’ yang lebih dikenali berbanding Selama jika ditanya soalan asal dari mana?

Terletak di antara sempadan Perak dan Kedah, bumi Selama yang bertuah ini memiliki tujuh lata yang boleh dikunjungi terus dengan menaiki kenderaan anda.

- Advertisement -

Belum lagi bercerita mengenai beberapa lata lain yang hanya boleh dikunjungi dengan cabaran pendakian, lebih dari tujuh! Yang menjanjikan kepuasan maksimum buat si pencinta alam.

Setakat ini, antara aktiviti yang boleh didapati di sini termasuk White Water Rafting, Water Cruising dan Kenderaan Pelbagai Permukaan (ATV).

Menyedari akan keupayaan Selama sebagai tarikan ekopelancongan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya akan berusaha untuk menjadikan perkara itu realiti yang dilihat akan menguntungkan warga di sini.

Katanya, kawasan tersebut berpotensi menjadi Hab Sukan Lasak Selama dan sekiranya direalisasikan, ekonomi warga tempatan akan lebih meriah dengan pembukaan Inap Desa, Rumah Tumpangan dan beberapa produk pelancongan lain sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan buat warganya.

“Pihak MDS ada Pelan Strategik Pelancongan 2020-2022, ada pelan untuk menjadikan kawasan Selama sebagai salah satu destinasi ekopelancongan dan mereka menyasarkan pelancong domestik.

“Bila ramai pelancong datang bercuti dan beriadah di sini, ekonomi penduduk di sini akan bertambah baik melalui pertambahan pelancong yang datang dan peluang pekerjaan yang ditawarkan,” ujarnya.

Beliau melihat aktiviti sukan ‘water rafting’ yang baru diperkenalkan di Lata Rambong setahun lalu semakin mendapat perhatian, bukan sahaja dari penduduk Selama, malahan penduduk negeri lain juga.

Akmal yang mesra dengan penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau, turut berkesempatan merasai sendiri sukan itu pada Khamis (22 Oktober) supaya berpengalaman untuk promosikan lagi produk tersebut.

“Alhamdulillah, hari ini saya dan rakan-rakan media dijemput untuk Water Rafting di Lata Rambong. kelihatan sangat memenatkan, namun kami masih teruja memandangkan ini merupakan kali pertama buat sesetengah daripada kami.

“Saya difahamkan, Lata ini menawarkan trek Water Rafting yang lebih menarik memandangkan ia lebih ekstrem dengan jeram semulajadi berterusan,” tambahnya.

Betul, jeram ekstrem dapat memberi kepuasan buat peminat sukan itu namun Lata Rambong turut menawarkan trek yang lebih mudah dan ‘mesra’ keluarga bagi keluarga yang merancang untuk bercuti di sini.

Operator Water Rafting dan Rivercruise, Mohd Idrus Abd Wahid berkata, cabaran berterusan itu menjadi kelainan berbanding aktiviti sama yang dijalankan di Gopeng.

“Kat sini kita punya jeram itu dia tak berhenti, kalau tempat lain mungkin dia jeram dan kemudian sedikit santai sebelum ke jeram seterusnya.

“Jadi dia punya ‘intense’ water rafting itu berterusan dari atas sehingga bawah, tapi bila sampai bawah di Lubuk Gajah itu, baru kita boleh santai, memang Sungai di Selama ini menawarkan cabaran yang berterusan lah,” ujarnya.

Tambahnya, pengunjung boleh memilih tiga pakej yang ditawarkan termasuk pakej tahap intermediate, beginner dan extreme dengan harga bermula RM60 satu orang.

Sementara itu, jelas Yang Dipertua Majlis Daerah Selama (MDS), Mohd Amzari Mohd Arzami, setakat ini pihak MDS telah hubungi operator ‘Water Rafting’ di Gopeng untuk membantu operator di sini terutamanya dari segi operasi, keselamatan dan peralatan.

“Operator dari Gopeng juga sekarang ini sedang melatih anak-anak kampung di sini untuk menjadi ‘Guide’ sukan itu dan dalam masa sebulan dua ini hubungan menjadi lebih baik apabila Operator di Gopeng turut mempromosikan sukan itu di Selama.

Katanya, pihaknya turut giat mempromosikan kawasan Ulu Selama itu melalui Tourism Perak dan Tourism Malaysia, namun menurutnya, walaupun promosi giat dijalankan, kekurangan logistik menjadi kesukaran.

“Kekangan yang kita hadapi bila orang mula datang, penginapan di sini tidak dapat menampung, yang ada di sini Inap Desa dan Guest House.

“Jadi MDS sudah ada perancangan untuk mewujudkan satu rumah rehat di kawasan sini (Lata Rambong) yang sekurang-kurangnya dapat menempatkan 100 orang,” ujarnya.

Tegasnya, pilihan penginapan yang ditawarkan membuatkan pelancong menginap lebih dari sehari dan menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui logistik dan penyediaan makanan.

Progresif ekopelancongan di Selama membuatkan kawasan ini lebih dikenali pelancong domestik dan luar negeri. Jadi selepas ini, anak Selama, jika ditanya kembali soalan ‘Asal dari mana?’, kini anda boleh mendabik dada dan berbangga untuk mengungkap ayat, ‘Saya Anak Selama’. – HARAKAHDAILY 23/10/2020

- Advertisement -