NGO sempurnakan usaha kerajaan terhadap rakyat

TAMBUN: Badan bukan kerajaan (NGO) menggalas tanggungjawab sangat besar khususnya membantu menjayakan hasrat kerajaan dalam pembentukan negara sejahtera, demikian kata Pengerusi Pertubuhan Prihatin Rakyat, Ustaz Hafez Sabri.

Advertisement

Menurutnya, walaupun NGO-NGO memiliki pendekatan dan fokus berbeza, namun mempunyai matlamat utama iaitu membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama.

Beliau berkata demikian di dalam program menyampaikan sumbangan keperluan asas harian kepada penduduk memerlukan di Jalan Intan, Sungai Kati Manjoi di mana sebahagian besarnya diuji dengan masalah kesihatan dan beberapa kesulitan lain.

Jelas Ustaz Hafez, kerajaan kini telah menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu kebajikan rakyat khususnya mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19, antaranya menyediakan bantuan kewangan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Namun begitu, peranan NGO yang bekerja secara kolektif dan sukarela ini hendaklah sentiasa digerakkan dari semasa ke semasa bagi membantu kerajaan menyelesaikan kekangan negara dan menangani pelbagai keperluan sosial termasuk isu kemiskinan dan pengangguran.

“Kolaborasi antara kerajaan dan NGO (ini) pasti (akan) membuahkan hasil yang baik pada pembangunan negara. InsyaAllah sebagai Pengerusi NGO Pertubuhan Prihatin Rakyat pihak saya akan terus menggerakkan program kebajikan tanpa mengira musim.

“Di kala negara sedang menghadapi krisis wabak COVID-19 inilah peluang yang seharusnya digarap oleh semua pihak untuk memupuk sikap bersatu padu dalam menjayakan program kebajikan khususnya di kawasan luar bandar. Kerana, ramai (yang) terkesan dan hilang mata pencarian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/10/2020