Muslimat selami resah mangsa kebakaran

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Hati terasa sangat cemas dan seluruh badan menggeletar sehingga terlupa cara hendak mengerakkan motor supaya cepat sampai ke rumah sebaik dimaklumkan rumahnya terbakar.

- Advertisement -

Begitulah diceritakan kembali betapa gawatnya detik dialami Aidasuraini Zahid, 40 yang hanya terbayang dalam fikirannya akan keselamatan anak-anak yang ditinggalkan di rumah di Sungai Ular, di sini.

Apatah lagi setiba di rumah melihat api sangat marak dan sedang menjilat binaan dari kayu itu di mana dengan begitu cepat segalanya telah musnah termasuk sebuah kereta yang tidak sempat diselamatkan.

Malah, jiran-jiran sekeliling rumah yang merupakan adik-beradiknya juga tidak menyedari kebakaran itu, namun Aida bersyukur kerana anak-anaknya semuanya terselamat walaupun keluar dengan sehelai sepinggang.

Kisah yang diimbasnya dengan linangan air mata itu dikongsikannya kepada Ketua Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Salwani Salleh bersama Ahli Jawatankuasanya semasa program Ziarah Prihatin, di sini.

Semasa kejadian, hanya tiga anaknya berada di rumah iaitu Siti Nurfatiehah Roslan, 18, Siti Nurlina Azaliza, 16 dan Siti Nur Arieshaa 6, manakala empat lagi anaknya termasuk anak OKU, Mohamad Azran Ramadhan, 9 tahun tiada di rumah.

Aidasuraini bekerja sebagai anggota RELA di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, sementara suaminya Roslan Abdullah, 51 bekerja sebagai penjaga di Sekolah Kebangsaan Sungai Baging Sungai Ular.

Selain bertugas sebagai penjaga tersebut, Roslan juga dimaklumkan membuat kerja lebih masa di sebuah kilang kayu untuk menampung kehidupan keluarganya.

Buat masa ini mereka ditempatkan di sebuah rumah sewa di Taman Perumahan Cerating Damai yang ditanggung oleh Syarikat Makmur Gold Kuantan selama enam bulan.

Mereka akan mendiami di situ sementara menunggu rumah mereka di bangunkan semula oleh syarikat berkenaan yang bermurah hati membantu mereka.

Salwani dalam pertemuan itu memberi kata-kata semangat kepada Aidasuraini supaya tetap sabar dengan dugaan dihadapi kerana setiap yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya.

Kehadiran pihak Muslimat PAS Indera Mahkota pada kunjungan itu telah menyampaikan sumbangan dari orang ramai bagi meringankan beban keluarga tersebut. – HARAKAHDAILY 23/10/2020

- Advertisement -