Indahnya keluarga Gerakan Islam

- Advertisement -

BERBEZAKAH dengan keluarga biasa? Ya, sangat berbeza keseluruhannya dengan keluarga gerakan Islam berdasarkan keperluan dan tuntutannya, malah bertambah daripada keluarga biasa.

- Advertisement -

Dalam keluarga gerakan adanya program-program tarbiyah, adanya program-program dakwah, ada program-program siyasah disamping gerak kerja di pelbagai peringkat organisasi mesti disempurnakan.

Sudah tentu pengurusan masa dan pengurusan kewangan sangat penting dalam keluarga gerakan Islam kerana kebanyakan masa dan harta adalah untuk perjuangan Islam.

Sementara itu konsep ‘al-fahmu‘ di kalangan suami dan isteri hendaklah dihadam betul-betul memandangkan sememangnya banyak pengorbanan terpaksa dilalui oleh suami, isteri dan anak-anak.

Ianya memerlukan pengorbanan yang besar khususnya masa berkualiti bersama keluarga sama ada pergi ‘shopping‘ atau jalan-jalan tidaklah boleh dibuat selalu sebagaimana keluarga biasa.

Sebaliknya ada sedikit tips dalam melayari bahtera Baitul Haraki untuk perkongsian kita bersama:

(1) Suami dan isteri saling menegur secara berhikmah dan lemah lembut untuk memperbaiki akhlak, ibadah dan amal dakwah masing-masing. Namun tidak pula memaksa atau mengharapkan perubahan yang cepat, dan terus memberi sokongan penuh kasih sayang dalam apa jua keadaan.

(2) Walaupun sibuk dgn pelbagai urusan kerja, study dan dakwah, tidak semestinya suasana bersama keluarga juga kena sentiasa serius dan bercakap mengenai dakwah sahaja. Perlunya gurau senda dan jenaka yang tidak melangkaui batasan syariat.

(3) Apabila pasangan ada usrah atau program jemaah yang terkadang sampai lewat malam pun, pasangannya janganlah marah-marah, malah menggalakkan pasangannya keluar dijalan dakwah dan menerima kepulangannya dengan gembira.

(4) Jika pasangan ada mesyuarat atau program secara tiba-tiba, pasangannya tidak merungut walaupun jika ianya bertembung masa dengan program keluarga yang telah dirancang.

(5) Jika isteri seharian sibuk dengan program jemaah dan dakwah, suami tidak kisah jika tiada makanan tersedia di dapur, atau rumah kurang terurus sementara waktu, bahkan suami cuba membantu melakukan kerja rumah semampunya.

(6) Masing-masing saling bertanya dan mengambil tahu mengenai perkembangan tarbiyah, dakwah dan siyasah pasangannya, pada masa yang sama cuba membantu memudahkan urusan pasangannya dengan memberi idea dan berkongsi pengalaman, bukannya mengkritik dan mencari kesalahan.

(7) Jika rumah diperlukan untuk program, masing-masing merelakan dengan gembira, bahkan mengharapkan ganjaran pahala dan keberkatan terhadap Baitul Haraki mereka.

(8) Suami dam isteri masing-masing cuba menunjukkan penghargaan dan apresiasi terhadap pasangan dengan cuba menggembirakan pasangan melalui pelbagai cara. Contohnya isteri memasak masakan kegemaran suami. Suami pula bantu jaga anak dan kemas rumah.

(9) Suami dan isteri bersama-sama mempelajari cara mendidik anak-anak secara Islami serta merancang masa depan keluarga dengan meletakkan tarbiyah Islamiyah sebagai agenda utama.

Justeru niatlah penentu segala-galanya, jika jelas mahukan redha Allah semua itu adalah cabaran dunia untuk kemanisan akhirat.

MOHD HAFEZ SABRI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 23/10/2020

- Advertisement -