AMAL gerakkan anggota bantu agih air

SHAH ALAM: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Bangi telah menggerakkan anggotanya bagi membantu penduduk yang terjejas bekalan air di Flat Teratai, Apartment Cendana dan Apartment Melur, di sini.

Advertisement

Berbekalkan 1,000 liter air menggunakan dua tangki bersama 11 anggota dalam tiga pacuan empat roda dan sebuah kereta, operasi agihan telah dilakukan dari jam 9 malam hingga berakhir tepat 2:15 pagi.

Operasi mereka ini turut dijayakan dengan penglibatan anggota AMAL Kawasan Shah Alam dipimpin Ketua Pemuda PAS Shah Alam, Ustaz Aubidullah Fahim Ibrahim serta Ahli Jawatankuasa Pemuda Shah Alam.

Malah, operasi ini turut dilancarkan dengan penglibatan anggota veteran AMAL Bangi di mana penduduk nyata sedikit lega setelah terputus bekalan air ekoran penutupan operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor.

Isu yang disifatkan penduduk sebagai ‘Tragedi Oktober’ kali ini melibatkan sekitar sejuta akaun pengguna di Sekitar Lembah Klang seperti Shah Alam, Klang dan Kuala Lumpur dan merupakan kejadian berulang.

Bagaimanapun, pihak AMAL menyatakan komitmen untuk siap sedia digerakkan bagi menghulurkan bantuan seumpama, namun juga menggesa Kerajaan Negeri Selangor agar serius mengatasi isu tersebut. – HARAKAHDAILY 23/10/2020