UniMAP terima 5 bintang pembelajaran ‘online’

- Advertisement -

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima pengiktirafan lima bintang berkaitan pembelajaran dalam talian berdasar penilaian Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating.

QS Stars merupakan sistem penarafan yang memberikan gambaran terperinci mengenai institusi mengikut aspek tertentu seperti kekuatan program, kemudahan, kebolehpasaran graduan, tanggungjawab sosial, penyelidikan, antarabangsa dan banyak lagi.

- Advertisement -

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, kejayaan memperoleh penarafan lima bintang bagi aspek pembelajaran dalam talian merupakan suatu pencapaian yang membanggakan.

Katanya usaha itu disumbangkan pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCA) serta Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (SQM).

“Dalam situasi dunia masih berdepan gelombang pandemik Covid-19, kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan UniMAP sentiasa berusaha menawarkan kemudahan yang terbaik kepada pelajar.

“Sekarang seluruh institusi pendidikan di dunia terkesan dengan wabak Covid, jadi penawaran pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian merupakan solusi terbaik bagi memastikan pelajar dapat meneruskan kuliah seperti biasa,” katanya di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 22/10/2020

- Advertisement -