Ulamak wanita Alam Melayu

- Advertisement -

PUAN Guru Ustazah Datin Hajah Khamudah hafizahaLlah ialah anak kepada Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali rahimahuLlah. Beliau dilahirkan pada tahun 1942. Ini bermakna, umurnya kini sudah mencecah 78 tahun ataupun 80 tahun Qamariah.

Sejak berumur 14 tahun lagi, Puan Guru sudah menghafal matan-matan penting dalam ilmu. Antaranya ialah Matan Jurumiyah, Matan Zubad, Matan Izzi, Matan Jauhar, Matan Alfiyah dan banyak lagi. Semua yang dihafal itu tersemat dalam ingatannya dengan kuat.

Sehinggakan, beliau mengajar tanpa menggunakan sebarang kitab pun. Beliau akan mensyarahkan satu-persatu dengan jelas sambil setiap muridnya melihat kitab semasa pengajian. 

- Advertisement -

Amalan Puan Guru

Puan Guru akan tidur selepas Isyak dan bangun seawal jam 2:00 pagi setiap hari. Benar kata Tok Ayah Haji Isa hafizahuLlah (Gerik), orang perempuan memang sangat hebat dalam bab bangun malam dan bertahajud. Itulah yang menjadi antara amalan beliau dari muda sehinggalah ke hari ini.

Tidak kelihatan sedikit pun keletihan di wajah Puan Guru semasa kami menziarahinya, bahkan, sangat tenang memandang wajahnya. Kudratnya masih kuat. Ketika baru pertama berjumpa, kami langsung tidak menyangka umurnya sudah mencecah 80 tahun. Lalu, kami juga bertanya kepada beliau, apakah amalan beliau dapat kekal sihat dan awet muda? Maka, jawapan beliau ialah:

(1) Bangun awal pagi.

(2) Menjaga wuduk.

(3) Menjaga makan.

(4) Mengajar.

Amalan yang keempat itu, disebutkan oleh anak Puan Guru dengan menyatakan bahawa ibunya itu, ‘Bila sekolah cuti, duduk dekat rumah jadi tak sihat. Bila mengajar, jadi sihat.’

Murid Puan Guru

Terdapat ramai yang pernah mempelajari dan mengambil sanad daripada Puan Guru. Antaranya ialah seorang syeikh dari Britain yang bersangatan alim iaitu Shaykh Danial hafizahuLlah, Tuan Guru Shaykh Husni Ginting al-Azhari hafizahuLlah dan ramai lagi. 

Itu sebahagian yang disebutkan sendiri oleh Puan Guru, manakala yang terdapat dalam catatan Sidna Tengku Yusuff hafizahuLlah melalui maklumat orang ramai, termasuklah juga yang pernah mengambil sanad dengan Puan Guru ialah Tuan Guru Abuya Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki as-Syazuli hafizahuLlah. 

Masakan tidak, Puan Guru antara orang yang memegang sanad yang tinggi dalam ilmu dan hadis. Beliau telah bertalaqqi secara terus dengan ayahandanya, Tuan Guru Haji Ghazali rahimahuLlah bersama abang Puan Guru. Selepas Subuh, mereka akan mempelajari Tafsir Jalalain. Sebelah malam pula, mereka mempelajari Hadis Sahih al-Imam al-Bukhari. Selain daripada itu, Puan Guru menyertai halaqah selama berpuluh-puluh tahun.

Oleh sebab itu, Puan Guru sangat pantang kalau ada orang yang datang dan mudah-mudah nak meminta sanad. Kata Puan Guru, 

“Ada orang pernah datang paksa saya mengajar sampai 12:30 tengah malam. Minta sanad, datang satu malam nak sanad! Saya sendiri pun 20 tahun belajar baru boleh dapat sanad. Sebab itu, saya tak akan beri mudah-mudah. Kalau beri juga, itu tidak amanah dengan ilmu.”

“Ada yang minta sanad mudah-mudah, boleh bawa sesat. Sekarang, semua nak ekspres. Ramai yang datang minta sanad dan nak saya mengaku dia sebagai anak murid.”

Namun, terdapat satu nama yang diiktiraf oleh Puan Guru sebagai anak muridnya yang mengaji daripada awal sejak sekian lamanya. Beliau ialah Tuan Guru Ustaz Ahmad Rozaini an-Nuuri hafizahuLlah (Pondok Pak Teh Kroh). Puan Guru telah mengajar kepadanya hampir semua bidang ilmu, kecuali bidang falak yang diajarkan oleh suami Puan Guru. 

Suami Puan Guru

Puan Guru merupakan isteri kepada Tuan Guru Dato’ Haji Mat Hashim bin Haji Anang RH, yang menjadi Pengetua di Madrasah Irshadiah bermula dari tahun 1960M. 

Mereka berkahwin dengan perbezaan umur sebanyak 17 tahun. Puan Guru pada waktu itu berusia 18 tahun, manakala suaminya pula berusia 35 tahun. Tuan Guru Haji Hashim rahimahuLlah juga sihat tubuh badan dan panjang umurnya sehingga 97 tahun kerana turut menjaga amalan berpuasa dan berwuduk (seperti yang diamalkan oleh Puan Guru). Makannya juga tak banyak. 

Selain daripada Puan Guru Datin Khamudah, kami juga berkesempatan untuk bertemu bual dengan anakandanya sendiri iaitu, al-Fadhil Ustaz Abdul Halim bin Haji Mat Hashim HZ. Menurut anaknya, Tuan Guru Haji Mat Hashim rahimahuLlah ialah seorang yang bersangatan alim sehingga menjadi rujukan Mufti Perak. Ayahnya pernah menjadi AJK Fatwa Perak dari tahun 80-an sehingga 2009. Makam beliau terdapat di Sungai Batang, Bagan Datuk.

Ayah Puan Guru

Ayah Puan Guru ialah al-Marhum Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali rahimahuLlah ( 1901 – 1997 ). Makam beliau terletak di Tanah Perkuburan Islam Batu 26, Bagan Datuk. Beliau merupakan salah seorang tokoh awal penubuhan PAS Perak dan terlibat dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaysia di Butterworth (1951). 

Tuan Guru Haji Ghazali RH pergi menuntut ilmu ke Makkah pada tahun 1914. Beliau ke sana selama 14 tahun dan pulang pada tahun 1928. Seterusnya, pada tahun 1932, beliau telah membuka pondok — yang sekarang ini dikenali sebagai SMA Irshadiah di Bagan Datuk.

Sekali gus, menjadikan Madrasah Irshadiah sebagai pusat pengajian agama yang kedua terawal dibuka di Perak. Pertama ialah Idrisiyah pada tahun 1922. Kedua ialah Irshadiah pada tahun 1932. Ketiga ialah al-‘Ulum pada tahun 1937. Ketiga-tiganya masih ada sehingga sekarang. 

Diceritakan oleh anak al-Marhum bahawa, ayahnya menetap lama di Makkah ketika berlaku pertukaran Kerajaan Uthmaniyah kepada Saudi. Pada waktu itu, terdapat daripada kalangan Tok Guru yang disembelih (akibat polemik Wahabi yang berlaku ketika itu). Tuan Guru Haji Ghazali rahimahuLlah sangat alim hampir dalam semua bidang ilmu, kecuali bidang Qira’at.

Sekolah Puan Guru

Sekembalinya Tuan Guru Haji Ghazali rahimahuLlah ke Malaysia, beliau telah dikahwinkan dengan seorang wanita daripada keluarga hartawan. Keluarganya telah mewakafkan sejumlah 50 ekar tanah bagi mendirikan pusat pengajian ilmu. Sebahagiannya pada hari ini, dijadikan sebagai aset kelapa sawit bagi menjana ekonomi sekolah.

Menurut al-Fadhil Ustaz Abdul Halim HZ, nama sekolah Irsyadiah diambil bersempena dengan nama bapa saudaranya, al-Marhum Haji Arsyad rahimahuLlah yang telah mewakafkan tanah untuk pondok. 

Bermula daripada pondok, kemudian menjadi sekolah. Hari ini, ia telah menjadi satu-satunya sekolah menengah agama swasta di Perak yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Berikut merupakan kronologi yang berkaitan dengan Madrasah Irshadiah:

Pada tahun 1960, Tuan Guru Haji Ghazali rahimahuLlah telah melantik menantunya iaitu; Tuan Guru Haji Hashim rahimahuLlah sebagai pengetua sekolah yang baharu. Ketika itu, sekolah telah melaksanakan pengajian akademik dan Arabiyah Diniyah. Empat (4) tahun Ibtida’iy dan empat (4) tahun Thanawiy, barulah pelajar akan mendapat Syahadah

Pada tahun 1987, sekolah mempunyai kelengkapan asrama. Kemudian pada tahun 2008, Puan Guru Datin Hajah Khamudah HZ dilantik sebagai pengetua yang baharu menggantikan suaminya. Pada tahun 2014, Tuan Guru Haji Hashim RH meninggal dunia.

Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesihatan yang berpanjangan buat Puan Guru Ustazah Hajah Datin Khamdah hafizahaLlah.

Rakaman Makam Tuan Guru Haji Ghazali rahimahuLlah: https://youtu.be/eLHjjCnL18c

Nota Hujung: Ini merupakan sebahagian daripada catatan nota semasa ziarah di Negeri Perak pada 11 Julai sehingga 13 Julai 2020.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم 

والله اعلم 

RASYID AL-KINTI – HARAKAHDAILY 22/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -