Terkini: China sah kuasa ekonomi nombor 1 dunia

AKHIRNYA laporan terkini IMF mengesahkan bahawa China telah memintas Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia pada bulan Oktober 2020.  

Laporan IMF bertajuk ‘World Economic Outlook, October 2020: A Long and Difficult Ascent’ ini yang merupakan satu-satunya laporan perbandingan ekonomi antara negara yang diterima pakai Agensi Perisikan Pusat (CIA) mencatatkan bahawa nilai ekonomi China kini ialah US$24.2 trilion, mengatasi AS yang bersaiz US$20.8 trilion. 

Malah, China pada tahun 2020 ini adalah merupakan satu-satunya negara yang memiliki pertumbuhan positif di sebalik pandemik COVID-19.  China juga adalah satu-satunya negara yang bakal memiliki saiz ekonomi yang lebih besar di hujung tahun ini berbanding saiznya pada awal tahun.  

Advertisement

Profesor Graham Allison dari Harvard Kennedy School mengulas laporan IMF ini dengan agak menarik melalui ‘Big Mac Index’ seperti mana yang dilaporkan majalah The Economist.

Secara konvensionalnya, ahli ekonomi menggunakan metrik yang dikenali sebagai kadar tukaran pasaran (MER) untuk mengukur Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sesebuah negara.  

Kaedah ini menghimpunkan kesemua barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan sesebuah negara dalam matawang mereka sendiri dan kemudiannya jumlah nilai tersebut dibandingkan dengan nilai matawang US$ AS mengikut ‘kadar tukaran pasaran’ semasa.  

Ekonomi AS dijadikan sandaran perbandingan kerana kekuatan ekonominya selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan saiz ekonominya hampir separuh daripada keseluruhan KDNK global. 

Bagi tahun 2020, nilai keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di China dijangka sebanyak 102 trilion Yuan.  Apabila nilai ini ditukar ke matawang US$ pada kadar pasaran semasa iaitu 7 Yuan bersamaan 1 Dollar, KDNK MER China adalah US$14.6 trilion berbanding KDNK AS yang bernilai US$20.8 trilion.

Namun begitu, kaedah konvensional ini memiliki satu kelemahan ketara apabila dibandingkan dengan realiti di lapangan: mengikut rasional kadar tukaran matawang ini, ia mengandaikan bahawa barangan yang bernilai 7 Yuan di China adalah bersamaan dengan barangan yang bernilai US$1 di AS.  Hal ini sama sekali tidak benar. 

Indeks Big Mac yang dibangunkan The Economist sebaliknya mencabar rasional ini dengan begitu ringkas tetapi tepat: Jika di China, pengguna membayar 21 Yuan untuk membeli keseluruhan burger Big Mac.  

Jika nilai ini ditukar ke matawang US$, ia bermakna warga AS hanya perlu membelanjakan US$3 untuk membeli burger Big Mac yang sama; tetapi hakikatnya tidak, harga Big Mac di AS adalah US$6!

Sekali gus, fakta ini menjadikan bahawa nilai setiap US$ 1 yang dibelanjakan China akan mendapatkan mereka barangan dan perkhidmatan yang dua kali ganda berbanding di AS: kesemuanya daripada burger ke telefon pintar, peluru berpandu dan pangkalan-pangkalan tentera laut. 

Akibatnya, CIA dan IMF telah membangunkan petunjuk yang lebih tepat bagi membandingkan ekonomi antara negara iaitu ‘pariti kuasa pembelian’ (PPP) yang mengeluarkan perbezaan dalam tingkat harga antara ekonomi negara berbeza.  

Melalui PPP, nilai barangan sama yang boleh dibeli di sesebuah negara mengikut matawang negara tersebut boleh dibandingkan secara langsung dengan nilai barangan yang sama di negara lain. 

Jika kaedah MER menunjukkan berapa banyak China boleh berbelanja menurut harga dalam US$, PPP sebaliknya menunjukkan berapa banyak China boleh berbelanja mengikut harga yang sebenar di China.

Implikasi strategik daripada perkembangan terbaru antara dua kuasa ekonomi dunia ini adalah cukup signifikan.  

Jika ketika China berada di kedudukan ekonomi kedua terbesar dunia sejak Julai 2010 pun mereka sudah mampu membangunkan teknologi ketenteraan dan persenjataan hingga menguasai Laut China Selatan dan diiringi skim Inisiatif ‘Belt and Road’, bayangkan pula apabila mereka kini menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia.

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 22/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.