Rakyat yakin kepada Perikatan Nasional, Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sehingga kini mendapat sokongan daripada 87.15 peratus rakyat Malaysia berdasarkan rangkuman kajian yang dijalankan oleh badan penyelidik QGenAnalysts (QGA).

- Advertisement -

Terbaharu, kajian di kawasan pinggir bandar dengan komposisi penduduk seimbang antara kaum Melayu dan bukan-Melayu iaitu masing-masing 50 peratus, merekodkan 85.5 peratus rakyat berpuas hati kepada PN.

Malah, petunjuk sokongan juga terserlah apabila 87.17 peratus responden bersetuju untuk PN dikekalkan memerintah menyamai kecenderungan diperolehi daripada dua keputusan kajian seumpama.

Terdahulu, kajian QGA di kawasan luar bandar dan bandar berpenduduk majoriti Melayu mencatatkan masing-masing 94.18 peratus dan 81.76 peratus rakyat berpuas hati terhadap Perikatan Nasional.

Malah, dapatan itu seiring dengan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara individu apabila 43.98 peratus berpuas hati dan 34.29 peratus sangat berpuas hati.

Bahkan secara umum, Tan Sri Muhyiddin masih memperolehi markah skor yang tinggi iaitu daripada 5, memperolehi 4.02 dan secara pecahan kaum mendapat Melayu (4.39), Cina (3.3) dan India (3.87).

Tiga faktor terkuat adalah kerana PN mengambil berat kebajikan rakyat; mengutamakan pemulihan ekonomi negara dan mengamalkan tadbir urus lebih baik; selain tambahan faktor mengutamakan keharmonian sosial.

Secara pecahan kaum, sokongan rasa puas hati kepada PN didukungi oleh 95 peratus Melayu, 81 peratus Cina dan 73 peratus India dalam kalangan penduduk di pinggir bandar berkomposisi kaum seimbang ini.

Sementara kerjasama parti komponen yang rapuh; segolongan pemimpin tidak berintegriti; kerajaan pintu belakang; dan lantikan pemimpin politik dalam GLC menjadi faktor tidak puas hati terhadap PN.

Sementara kajian atas Muafakat Nasional (MN) mentadbir Malaysia memperoleh 67.41 peratus, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat 40.27 peratus dengan sokongan terbesar dari kaum Cina (70 peratus) dan India (62 peratus).

Faktor yang menjadi isu penolakan terhadap PH direkodkan kerana gagal menunaikan manifesto; membangkitkan sentimen perkauman; mengganggu kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera; serta pertelingkahan dalaman parti komponen.

Responden juga memberi skala terbesar ciri-ciri pemimpin pilihan mereka menurut susunan mesra rakyat; berintegriti, berwibawa dan senarai lainnya, berbeza dari pilihan luar bandar yang mahukan pemimpin beragama.

Responden kajian ini terdiri daripada 58 peratus berumur 41 tahun dan ke atas, manakala 41 peratus berumur antara 20 hingga 40 tahun dengan 27 peratus merupakan pekerja swasta dan 24 peratus sendiri.

Manakala peratusan pekerjaan lain adalah suri rumah (22%), tidak bekerja (19%), kerajaan (5%) dan pelajar (4%). – HARAKAHDAILY 22/10/2020

- Advertisement -