Peringkat awal Tok Guru tolak dilantik MB

KOTA BHARU: Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menolak cadangan melantiknya sebagai Menteri Besar (MB) selepas PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah menguasai Kelantan pada 21 Oktober 1990.

Advertisement

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Tok Guru hanya bersedia menerima jawatan sekiranya dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun).

Katanya beliau bersama Presiden PAS ketika itu Almarhum Ustaz Fadzil Noor terpaksa datang ke Kelantan memujuk Tok Guru supaya menerima jawatan menteri besar.

“Kami memberitahu PAS Pusat akan membantu Tok Guru dan mencadangkan dilantik Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman bagi membantunya sebagai Timbalan Menteri Besar I.

“Selepas itu barulah Tok Guru setuju dilantik sebagai Menteri Besar. Inilah prinsip yang dipegang pemimpin PAS tidak mengutamakan jawatan dalam perjuangan,” katanya pada Ceramah Perdana sempena sambutan 3 Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) malam tadi.

Amanat Tuan Guru Abdul Hadi itu disiarkan secara atas talian dari Rusila.

Manakala pemimpin utama PAS Kelantan berada di Dewan Zulkifli Muhamad Pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, timbalannya Dato’ Mohd Amar Abdullah, anggota Exco Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan wakil-wakil rakyat.

Presiden PAS juga berkata, PAS di Kelantan satu-satu gerakan Islam di peringkat dunia yang mampu menguasai pentadbiran negeri dalam tempoh begitu lama.

Sedangkan katanya gerakan Islam lain termasuk Masyumi di Indonesia hanya mentadbir negara itu dalam tempoh dua tahun. – HARAKAHDAILY 22/10/2020